"Apabila kesusahan datang menerpa diri dan kecemasan bertindih-tindih menghimpit diri ucapkanlah : Laa Ilaha Illallah"
Thursday, September 18, 2014
I.V.F : PART THREE
Wednesday, September 17, 2014
I.V.F : PART TWO
7. SEBAB YANG DIBOLEHKAN IVF
Proses IVF ini tidaklah terbuka luas kepada semua golongan manusia, bahkan hanya terbuka dan diberi kepada penerima yang tertentu sahaja. Di antaranya adalah mereka yang mempunyai masalah ketidaksuburan. Sebab-sebab ketidaksuburan boleh dikenalpasti sepertimana berikut:
1) Jumlah sperma yang kurang pada lelaki yang sihat , dimana ia mencecah kurang daripada lima bleas (15) juta/ml; atau
2) Kualiti sperma yang rendah atau ketidakhasilan sperma; atau
3) Ovari yang tidak berfungsi disebabkan oleh kegagalan persenyawaan awal; atau
4) Bahan kimia yang menyebabkan kemandulan; atau
5) Penyakit kelamin yang berjangkit ; atau
6) Saluran tiub fallopian yang tersumbat atau berparut atau mempunyai asid pada tahap yang tinggi
7) Ketidaksuburan pada lelaki dan wanita yang tidak dapat dikesan, dimana tiada anak selepas tiga hingga lima tahun berkahwin .
8. PENERIMA IVF
Sekiranya masalah kesuburan telah dikenal pasti dan pesakit dikehendaki membuat rawatan penghamilan melalui proses IVF, pesakit tersebut hendaklah dikenal pasti status dirinya terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini seperti mengandung anak tanpa ayah dan lain-lain. Oleh itu, terdapat dua jenis golongan penerima rawatan ivf iaitu:
i. Golongan yang dibolehkan menerima rawatan IVF :
(a) Pasangan suami isteri yang sah
(b) Isteri yang berada di dalam statu poligami (berbeza pandangan)
ii. Golongan yang tidak boleh menerima rawatan IVF :
(a) Isteri yang kematian suami
(b) Ibu tumpang
(c) Pasangan kekasih yang tidak mempunyai ikatan pernikahan yang sah di sisi Hukum Syara’
9. SITUASI PENERIMA IVF
Berdasarkan dua golongan tersebut, para ilmuwan telah membahagikan golongan-golongan tersebut dengan lebih terperinci. Hasil pembahagian tersebut, terdapat sembilan (9) kategori dan situasi bagi penerima rawatan IVF yang mana situasinya adalah seperti berikut :
i. Persenyawaan air mani pasangan suami isteri dan embrio dikembalikan ke dalam rahim isteri.
ii. Persenyawaan air mani dari pasangan suami isteri, dan embrio diletakkan dalam rahim isteri yang lain (poligami).
iii. Individu selain suami isteri yang sah dan diletakkan di dalam embrio perempuan tersebut. iv. Persenyawaan air mani daripada pasangan suami isteri dan diletakkan dalam rahim perempuan lain. v. Persenyawaan air mani daripada suami dengan perempuan asing dan diletakkan embrio tersebut ke dalam rahim isteri
vi. Persenyawaan air mani yang dilakukan oleh seorang lelaki asing dengan seorang isteri dan diletakkan embrio tersebut ke dalam rahim perempuan lain.
vii. Persenyawaan air mani lelaki asing dengan seorang isteri dan diletakkan embrio ke dalam rahim isteri tersebut.
viii. Persenyawaan oleh pasangan bukan suami isteri dan embrio diletakkan dalam rahim isteri
ix. Persenyawaan air mani pasangan bukan suami isteri dan diletakkan embrio dalam rahim perempuan lain
(a) Situasi pertama: Persenyawaan air mani pasangan suami isteri dan embrio dikembalikan ke rahim isteri :
Berdasarkan situasi ini, para ulama’ telah berselisih pendapat yang mana sebahagian besar ulama’ mengatakan bahawa persenyawaan di dalam situasi ini adalah HARUS. Pendapat ini adalah merupakan pandangan Majma' Al-fiqh Al-Islami (Akedemi Islam Fiqh), majoriti Ulama’ serta keputusan Persatuan Kedoktoran Islam( Walaubagaimanpun, segelintir ulama’ berpandangan bahawa ianya adalah TIDAK HARUS sekaligus mengharamkannya.
Namun begitu, pandangan dan pendapat yang rajih adalah pendapat pertama, iaitu harus. Para ulama’ selanjutnya telah menetapkan syarat bagi keharusan proses IVF ini sebagaimana berikut :
a) Proses IVF dilakukan dengan kerelaan suami isteri pada waktu hubungan masih kekal (belum bercerai);
b) Doktor yang melaksanakan proses tersebut adalah dari kalangan doktor muslim yang boleh dipercayai agama dan kedoktorannya; dan
c) mempunyai jaminan yang sangat cukup daripada berlakunya percampuran nasab (keturunan)
(b) Situasi kedua: Persenyawaan air mani dari pasangan suami isteri dan embrio diletakkan ke dalam rahim isteri yang lain (poligami):
Di dalam situasi ini, terdapat dua (2) pandangan berkenaan dengan situasi ini, dimana embrio yang telah disenyawakan hasil daripada telur isteri pertama dan sperma suami diletakkan di dalam kandungan atau rahim isteri yang lain.Pendapat pertama berkaitan situasi ini adalah HARUS, manakala pendapat kedua pula mengatakan ia TIDAK HARUS.
Berdasarkan pandangan kedua ini, keputusan mesyuarat panel kajian syariah JAKIM kali ke 60, memutuskan bahawa persenyawaan jenis ini adalah HARAM walaupun persenyawaan dilakukan kepada suami isteri yang sah. Hal ini kerana, pada pandangan mereka, kesucian suatu perkahwinan yang sah tidak harus dicemari sepanjang proses bantuan reproduksi (ART) dengan menggunapakai rahim pihak ketiga.
Seterusnya, mesyuarat juga menyatakan bahawa proses ART adalah bertentangan dengan prinsip asas Islam berhubung reproduksi manusia. Pandangan tersebut disokong oleh Majma' Al-Fiqh Al-Islami yang menyatakan bahawa situasi ini adalah HARAM kerana akan mengakibatkan kekeliruan nasab janin.
(c) Situasi ketiga hingga kesembilan Ulama’ bersepakat dalam kaedah ini adalah secara jelasnya HARAM, berdasarkan Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Mukminun ayat 5-6 yang berbunyi :
وَالَّذينَ هُم لِفُروجِهِم حٰفِظونَ﴿٥﴾ إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ﴿٦
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” Berdasarkan ayat tersebut, TIDAK DIBOLEHKAN meletakkan sebarang benda ke dalam rahim perempuan lain melainkan kepada isteri sendiri atau hamba sahaya yang dimiliki. Manakala di dalam firman Allah s.w.t dalam surah An-Nahl ayat 72:
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ
Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal”
Berdasarkan ayat tersebut, Allah s.w.t menjelaskan bahawa Dia mengurniakan zuriat dari darah daging dan/atau dari ikatan yang sah. Sekaligus memberi mafhum bahawa ibu tumpang bukanlah tergolong sebagai isteri yang menyambung zuriat keturunan kerana tidak wujudnya ikatan yang menghalalkan hubungan di antaranya dengan lelaki tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w : “Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyiram benihnya kepada tanaman lelaki lain”. Maka, tidak halal sama sekali bertemunya sperma dan telur dalam rahim wanita yang bukan isterinya.
Selain itu, rahim perempuan juga turut terlibat dalam pembentukan janin, yakni ia akan memberi makanan kepada janin tersebut daripada darah rahim wanita itu. Dalam situasi ini, sekiranya rahim perempuan yang digunakan ini telah bercampur dengan air mani lelaki ajnabi atau asing, maka ia akan merosakkan sifat dan erti keibuan. Hal ini kerana, kerana ibu tumpang tersebut yang memberi makan kepada janin tersebut bahkan dia yang merasakan kesakitan mengandung. Tetapi selepas dilahirkan, bayi diserahkan kepada ibunya yang sebenar(pemilik ovum). Perbuatan ibu tumpang yang belum berkahwin akan mendatangkan penghinaan dan kejian daripada manusia dan membawa kesan buruk kepada masyarakat., sekaligus mendorong kepada penutupan aib atau pembohongan yang mana perempuan itu mengandungkan anak luar nikah tetapi mengaku sebagai ibu tumpang.
Monday, September 15, 2014
ilmu al-qadhi [Pengetahuan Hakim : Luar Mahkamah]
2.2 PENGETAHUAN HAKIM DI LUAR PERBICARAAN
Dalam konteks ini, para fuqaha’ telah berselisih pendapat sama ada harus atau tidak bagi seorang hakim itu membuat keputusan bedasarkan pengetahuannya yang di dapati di luar mahkamah, yakni sebelum dilantik menjadi hakim mengenai sesuatu kes.
PANDANGAN FUQAHA’ MAZHAB MALIKI, HANBALI, DAN IMAM SYAFIE Menyentuh hal ini para fuqaha’ Mazhab maliki, Hanbali, dan Imam Syafie dalam satu qaulnya menyatakan bahawa tidak harus sama sekali bagi hakim membuat keputusan berdasarkan pengetahuan yang di dapati di luar mahkamah dalam apa-apa kes, sama ada dalam kes berhubung dengan hudud,qisas, kehartaan, atau bukan kehartaan, tanpa mengira bagaimana cara ia mendapatkannya. Manakala Imam Syafie pula dalam satu qaulnya yang lain, sebahagian fuqaha’ Mazhab Shafie, al-Imam Ahmad ibnu Hanbal dalam satu riwayatnya dan fuqaha’ mutakhir mazhab Hanafi menyatakan bahawa harus bagi hakim berbuat demikian dalam semua kes tanpa mengira sama asa pengetahuan mengenainya didapati sebelum atau selepas ia dilantik menjadi hakim kerana kedua-dua keadaan tiada bezanya.
Imam Abu Hanifah dan para Fuqaha’ mutaqaddimin mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa pengetahuan hakim yang di dapati dan diperolehi selepas ia dilantik menjadi hakim boleh diterima dengan syarat ia berada dalam bidang kuasanya sehingga kes itu dihadapkan kepadanya. Jika tidak, ia tidak diterima.
PANDANGAN MAZHAB SYAFIE SECARA TERPERINCI
Mazhab Shafie pula membahagikan keadaan ini kepada dua (2) situasi dan/atau perkara.
Pertama : Perkara yang berkaitan dengan hak manusia, manakala yang kedua adalah perkara-perkara yang berhubung dengan hak Allah s.w.t. Dalam konteks perkara yang pertama, golongan ini menyatakan adalah tidak harus bagi seorang hakim itu menghukum berdasarkan pengetahuannya. Hal ini kerana ia terdedah kepada tomahan. Perkara ini juga boleh menyebabkan hakim yang curang akan menggunakan kesempatan tersebut menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang tidak bersalah. Sabda Rasulullah S.A.W kepada Al-Hadrami yang bermaksud : “Sama ada dua saksi bagimu atau sumpah orang yang di dakwa dan tidak ada jalan lain melainkan demikian”
Kedua: Harus berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yg bermaksud: “Janganlah terhalang seseorang pun daripada kamu untuk berkata benar dengan apa-apa yang di lihat dan diketahui serta di dengarnya kerana kehebatan manusia” Manakala apabila sesuatu kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan dengan hak Allah, ulama’ mazhab Syafie berpendapat bahawa menghukum berdasarkan pengetahuan hakim di luar mahkamah adalah tidak harus. Menutup kesalahan yang dilakukan adalah sunat dan hukuman hudud hendaklah dielakkan sebarang kesamaran. Golongan ini berhujah berdasarkan kata-kata Saidina Abu Bakar yang bermaksud: “ Jika aku melihat seseorang lelaki melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukuman hudud tidak akan aku kenakan hudud sehingga dikemukakan keterangan atau bukti kepadaku.”
PANDANGAN MAZHAB HANBALI
Mazhab Hanbali mempunyai pandangan tidak harus bagi seorang hakim itu menggunakan pengetahuannya dalam kes-kes hudud dan bukan hudud kerana perlakuan tersebut akan menyebabkan tohmah dan sekaligus membawa kepada menghukum berdasarkan keinginan dan nafsu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Aku adalah seorang manusia dan kamu telah datang kepadaku agar aku memutuskan pertikaian kamu, mungkin ada di antara kamu yang lebih petah mengemukakan hujahnya daripada yang lain, maka aku pun memberikan hukuman untuknya berdasarkan apa-apa yang aku dengar. Selanjutnya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Bawalah dua orang saksi bagimu atau dia bersumpah dan tidak ada jalan lain melainkan demikian”. Selain dari itu, telah diriwayatkan bahawa telah datang dua orang lelaki bertikai kapada Saidina Umar, seorang daripada mereka berkata : “Tuan adalah saksi sy”. Saidina Umar berkata “jika kamu berdua mahu aku menjadi saksi, aku tidak akan menghukum kamu, atau aku menghukum tetapi tidak menjadi saksi. Berdasarkan dalil-dalil dan hujahan tersebut, adalah jelas menunjukkan pendirian dan pandangan golongan ini yang menekankan bahawa penggunaan ilmu al-qadhi di luar perbicaraan tidak boleh digunapakai di dalam semua kes.
PANDANGAN IMAM MALIK DAN MAZHAB MALIKI
Imam Malik dan kebanyakkan ulama Mazhab Maliki berpendapat tidak harus seseorang Hakim itu menggunakan pengetahuannya di dalam semua kes samaada diperolehinya sebelum atau selepas menjadi Hakim. Secara umumnya, golongan ini mempunyai hujah yang sama seperti Mazhab Hanbali. Golongan ini memberikan hujah tambahan bagi penggunaan ilmu al-qadhi di luar perbicaraan di dalam kes pembunuhan. Jika seorang Hakim itu mengetahui bahawa saudaranya telah melakukan pembunuhan dan Hakim tersebut telah bertindak berdasarkan pengetahuannya yang diperolehi di luar Mahkamah, maka Hakim tersebut akan membunuh saudaranya tersebut. Perlakuan Hakim tersebut akan diambil kira sebagai membunuh dengan sengaja. Oleh itu, hakim tersebut tidak berhak mewarisi harta saudaranya kerana wujudnya tohmah.
PANDANGAN MAZHAB HANAFI
Golongan ini berpendapat bahawa ilmu al- Qadhi boleh digunakan di luar perbicaraan adalah diterima dalam perkara yang berhubung dengan hak manusia dengan syarat pengetahuan yang tersebut hendaklah diperolehinya semasa ia memegang jawatan Hakim. Manakala bagi hak Allah semata-mata seperti kes zina dan minum arak, maka berdasarkan istihsan ulama’ mazhab Hanafi berpendapat bahawa Hakim tidak digalakkan menghukum berdasarkan pengetahuannya kecuali di dalam dua (2) perkara sebagaimana berikut: 1) Kes curi : Di dalam kes ini, Hakim hendaklah menghukum tentang kedudukan harta yang dicuri bukan dan bukan menghukum pencuri, iaitu dengan hukuman memotong tangan; 2) Qisas dan Hudud kerana Qazaf : Hakim boleh menghukum pesalah bagi kesalahan Qisas dan Hudud yang disebabkan oleh perlakuan Qazaf (menuduh perempuan yang baik berzina).
Walaupun begitu, Abu Yusof dan Muhammad pula berpendapat bahawa seorang Hakim boleh menghukum berdasarkan pengetahuannya sebelum ia di lantik menjadi Hakim, tetapi dengan syarat kes tersebut hendaklah dikemukakan kepadanya selepas ia dilantik menjadi Hakim. Akan tetapi, Imam Abu Hanifah berpendapat tidak harus ia berbuat demikian. Seterusnya, Ibnu Abidin telah menyimpulkan bahawa pada asalnya seseorang hakim itu harus menghukum berdasarkan pengetahuannya, tetapi beliau berpendapat bahawa cara yang sedemikian (menggunapakai pengetahuan di luar perbicaraan) adalah tidak oleh digunakan pada masa sekarang kerana wujud ketidaksesuaian berdasarkan keadaan atau perilaku hakim (hakim telah rosak).
PANDANGAN MAZHAB DZAHIRI
Mazhab Dzahiri berpendapat adalah wajib bagi seorang Hakim itu untuk menggunakan pengetahuannya di luar perbicaraan dalam kes-kes yang berhubung dengan hutang-piutang, Qisas, harta, kehormatan dan hudud. Golongan ini berpendapat bahawa ilmu al-Qadhi jenis ini adalah diterima tidak kira samaada ia memperolehi maklumat dan/atau pengetahuan tersebut sebelum atau selepas perlantikan dibuat. Golongan ini juga berpendapat bahawa hukuman yang dibuat berdasarkan pengetahuan hakim adalah lebih kuat kerana ia merupakan satu keyakinan. Seterusnya, golongan ini menghujahkan bahawa seorang hakim itu menghukum ta’dil (kepercayaan) dan tarjih (kebolehan) seseorang saksi itu berdasarkan pengetahuannya.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Maidah ayat 8 ( ) yang nasnya berbunyi : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ Maksudnya: “Hendaklah kamu menegakkan keadilan menjadi saksi kerana Allah” Berdasarkan firman Allah s.w.t tersebut, adalah jelas bahawa keadilan itu perlu ditegakkan. Apbila suau keadilan itu tidak ditegakan walaupun hakim mengetahui akan hakikat sebenar perkara itu, maka suatu kezaliman akan timbul daripada tingkah laku tersebut.
2.2.1 KES YANG DIPUTUSKAN BERDASARKAN ILMU AL-QADHI (LUAR PERBICARAAN)
Rujukan kes:
a)Plaintif telah membuat permohonan pengesahan lafaz cerai yang telah dilafazkan oleh suaminya, iaitu Defendan. Di dalam hal ini, Yang Arif Hakim merupakan jirannya yang tinggal bersebelahan dengan pihak-pihak telah terdengar lafaz tersebut dibuat. Berdasarkan pendengaran serta pengetahuan Yang Arif Hakim di luar perbicaraan tersebut, Yang Arif Hakim telah memutuskan bahawa telah jatuh talaq satu ke atas isteri tersebut selepas permohonan dibuat dan pihak-pihak dibawa kepada hadapannya.
ilmu al-qadhi [Pengetahuan Hakim- Dalam Mahkamah]
1.0 PENGENALAN
Suatu kesalahan dan/atau tanggungan dan/atau perkara yang ingin disabitkan dan /atau didakwa di Mahkamah Syariah memerlukan penjelasan dan/atau pengetahuan yangsempurna dan lengkap agar hukuman yang dijatuhkan atau penghakiman yang diputuskan adalah betul dan tepat.
Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah ayat 42( ) yang nasnya berbunyi : وإن حكمت فاحكم بينهم بالقسط إن الله يحب المقسطين
Maksudnya : “Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.”
Berdasarkan firman Allah s.w.t tersebut, adalah jelas bahawa Allah sentiasa menyarankan hamba-NYA membuat keputusan dengan adil. Dalam memutuskan suatu perkara yang menjadi pertelingkahan dan/atau perbalahan di antara dua (2) pihak, Hakim atau Qadhi adalah orang yang mempunyai kuasa dalam membuat penghakiman dan/atau keputusan. Namun begitu, sekiranya seorang hakim itu menyaksikan suatu kejadian dan mengetahui faktor-faktor latar belakang bagi kejadian itu, adakah harus baginya untuk membuat penghakiman dan keputusan.
Dalam perkara ini, dalam menentukan suatu keputusan seorang hakim mempunyai dua (2) sumber pengetahuan dan maklumat yang dikenali sebagai ilmu al-Qadhi (Pengetahuan Hakim).
2.0 PENGERTIAN DAN BAHAGIAN ILMU AL-QADHI
Ilmu Al-Qadhi ialah satu perkataan yang dimudafkan (disandarkan) kepada perkataan yang lain. Ilmu bererti pengetahuan, manakala al-Qadhi pula membawa maksud Hakim. Secara umumnya ilmu al-Qadhi ini membawa erti sebagai suatu pengetahuan dan/atau maklumat peribadi yang di dapati oleh seorang Hakim mengenai sesuatu perkara dan/atau kejadian.
Ilmu al-Qadhi ini terbahagi kepada dua (2). Pertama, pengetahuan Hakim di dalam perbicaraan dan kedua adalah pengetahuan Hakim di luar perbicaraan.
2.1 PENGETAHUAN DALAM PERBICARAAN :
Pengetahuan dalam perbicaraan adalah suatu pengetahuan dan/atau maklumat yang diperolehi oleh seorang hakim di dalam perbicaraan, yakni sepanjang prosiding di jalankan dihadapnnya. Namun begitu, para fuqaha’ telah memberikan pendapat yang berbeza-beza mengenai penggunaan pengetahuan hakim sebagai satu cara pembuktian apabila ianya dilihat dari beberapa sudut yang berbeza.
Walaubagaimanapun, mereka pada dasarnya bersepakat mengenai beberapa perkara seperti hakim hendaklah berpegang kepada apa-apa yang diketahuinya mengenai sesuatu perkara dan kejadian, meskipun terdapat keterangan lain mengenainya. Selain dari itu, seorang Hakim juga boleh membuat keputusan bedasarkan pengetahuan peribadinya mengenai kebolehpercyaan (ta’dil) atau ketidakboleh percayaan (tarjih) terhadap kesaksian seseorang saksi. Hal ini bermakna, jika seorang Hakim itu mengetahui keadaan peribadi seseorang saksi itu, maka Hakim itu boleh membuat keputusan sama ada kesaksian saksi tersebut boleh diterima atau tidak boleh diterima kerana terdapat kecatatan sebagai misalnya. Maka di dalam kes seperti ini, hendaklah hakim tersebut membuat keputusan bedasarkan pengetahuannya itu.
Pengetahuan hakim mengenai sesuatu yang berlaku dalam prosiding perbicaraan boleh diguna pakai olehnya sebagai alasan atau hujah untuk mengambil sesuatu tindakan atau keputusan. Sebagai contoh, di dalam kes-kes yang berkaitan dengan hibah, Hakim boleh membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman bedasarkan pengetahuannya. PANDANGAN IMAM AHMAD DAN IMAM SYAFIE Imam Ahmad dan Imam Syafie berpendapat hakim boleh menjatuhkan hukuman tanpa disyaratkan sekurang-kurangnya dua saksi lelaki. Tetapi boleh menerima fakta dakwaan dan sebab-sebab sabitnya dakwaan berdasarkan keterangan dan ikrar. Golongan ini berhujah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w di dalam sebuah kisah yang mana Rasulullah s.a.w telah mengarahkan sahabat untuk berjumpa dan ketemu seorang wanita yang telah didakwa melakukan zina. Maka Rasulullah s.a.w berkata kepada sahabat yang bermaksud: “Jika dia mengaku, maka rejamlah dia”
2.1.1 KES-KES YANG DIPUTUSKAN BERDASARKAN ILMU AL-QADHI (DALAM PERBICARAAN)
Rujukan-rujukan kes:
a)Rokiah binti Che Hassan lwn Zakaria Bin Embong dan seorang lain JH (1428H) Disember 2007 Jld 24 Bhg 2.:
Plaintif telah membuat permohonan mengenai pengesahan pernikahannnya dengan Defendan 1, yang mana Plaintif adalah isteri kepada Defendan 1 yang telah berkahwin pada 12 haribulan Jun 1981 dan pihak-pihak pernah bercerai serta rujuk tetapi tidak didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah. Pada 15 haribulan Februari 1998 telah berlaku penceraian sekali lagi dan pihak-pihak tidak rujuk semula sehingga Plaintif habis eddah. Namun pada 01 haribulan Julai 1998, pihak-pihak telah menikah semula dan telah diakadkan oleh Defendan 2 dengan berwalikan wali saudara seibu sebapa. Walaubagaimanapun Plaintif mendakwa bahawa dia tidak hadir di majlis tersebut serta tidak pernah memberikan apa-apa keizinan bagi pernikahan baru tersebut dan merasa ragu mengenai pernikahan yang tidak didaftarkan. Setelah Mahkamah mendengar keterangan pihak-pihak dan saksi-saksi, maka Mahkamah telah memutuskan dan memfaraqkan pernikahan pihak-pihak serta memerintahkan mereka berkahwin semula mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
b) Mohd Illhdzan bin Mohd Ali dan Ayoub Izaruddin Bin Mohd Ali lwn Aiyuhanil Binti Mohd Ali JH (1432H) September 2007 Jld 33 Bhg 1:
Dalam kes ini, Pemohon 1 dan Pemohon 2 telah membuat pemohonan pengesahan Hibah terhadap hartanah-hartanah yang dimiliki atas nama Rsponden yang dikatakan bagawa hartanah-hartanah tersebut adalah hak milik bapa (Si Mati). Pemohon 1 dan Pemohon 2 menyatakan bahawa hartanah-hartanah tersebut (2 keping tanah) telah dihibahkan semasa hayat Si Mati kepada mereka. Walaubagaimanapun hartanah-hartanah tersebut telah dinamakan atas nama Responden pada ketika itu kerana Pemohon 1 dan Pemohon 2 masih belum mencapai umur dewasa dan/atau kelayakan. Maka, setelah Mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi dan hujah pihak-pihak. Mahkamah meluluskan permohonan Pemohon-pemohon sebagaimana yang dipohon dan mengihstiharkan hartanah-hartanah tersebut sebagai hibah.
c) Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Rosli Bin Abdul Japar JH (1428H) Jun 2007 Jld XXIII Bhg II:
Tertuduh telah dipanggil membela diri atas tuduhan melakukan persetubuhan haram dengan Cik Murni Binti Muhammad sehingga melahirkan anak luar nikah bernama Hasmawi Bin Abdullah. Sepanjang prosiding yang dijalankan, sbebeapa keterangan dan bukti-bukti telah dikemukakan termasuklah keterangan pakar dan pembuktian secara saintifik (laporan DNA). Oleh itu, berdasarkan pengetahuan yang diperolehi oleh Yang Arif Hakim Bicara, maka Mahkamah memutuskan bahawa Tertuduh dikenakan hukuman denda sebanyak RM 3000 dan jika gagal bayar di denda enam (6) bulan penjara.