Monday, September 15, 2014

ilmu al-qadhi [Pengetahuan Hakim : Luar Mahkamah]

2.2 PENGETAHUAN HAKIM DI LUAR PERBICARAAN 

Dalam konteks ini, para fuqaha’ telah berselisih pendapat sama ada harus atau tidak bagi seorang hakim itu membuat keputusan bedasarkan pengetahuannya yang di dapati di luar mahkamah, yakni sebelum dilantik menjadi hakim mengenai sesuatu kes. 

PANDANGAN FUQAHA’ MAZHAB MALIKI, HANBALI, DAN IMAM SYAFIE Menyentuh hal ini para fuqaha’ Mazhab maliki, Hanbali, dan Imam Syafie dalam satu qaulnya menyatakan bahawa tidak harus sama sekali bagi hakim membuat keputusan berdasarkan pengetahuan yang di dapati di luar mahkamah dalam apa-apa kes, sama ada dalam kes berhubung dengan hudud,qisas, kehartaan, atau bukan kehartaan, tanpa mengira bagaimana cara ia mendapatkannya. Manakala Imam Syafie pula dalam satu qaulnya yang lain, sebahagian fuqaha’ Mazhab Shafie, al-Imam Ahmad ibnu Hanbal dalam satu riwayatnya dan fuqaha’ mutakhir mazhab Hanafi menyatakan bahawa harus bagi hakim berbuat demikian dalam semua kes tanpa mengira sama asa pengetahuan mengenainya didapati sebelum atau selepas ia dilantik menjadi hakim kerana kedua-dua keadaan tiada bezanya. 

Imam Abu Hanifah dan para Fuqaha’ mutaqaddimin mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa pengetahuan hakim yang di dapati dan diperolehi selepas ia dilantik menjadi hakim boleh diterima dengan syarat ia berada dalam bidang kuasanya sehingga kes itu dihadapkan kepadanya. Jika tidak, ia tidak diterima. 

PANDANGAN MAZHAB SYAFIE SECARA TERPERINCI 

Mazhab Shafie pula membahagikan keadaan ini kepada dua (2) situasi dan/atau perkara. 

Pertama : Perkara yang berkaitan dengan hak manusia, manakala yang kedua adalah perkara-perkara yang berhubung dengan hak Allah s.w.t. Dalam konteks perkara yang pertama, golongan ini menyatakan adalah tidak harus bagi seorang hakim itu menghukum berdasarkan pengetahuannya. Hal ini kerana ia terdedah kepada tomahan. Perkara ini juga boleh menyebabkan hakim yang curang akan menggunakan kesempatan tersebut menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang tidak bersalah. Sabda Rasulullah S.A.W kepada Al-Hadrami yang bermaksud : “Sama ada dua saksi bagimu atau sumpah orang yang di dakwa dan tidak ada jalan lain melainkan demikian” 

Kedua:  Harus berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yg bermaksud: “Janganlah terhalang seseorang pun daripada kamu untuk berkata benar dengan apa-apa yang di lihat dan diketahui serta di dengarnya kerana kehebatan manusia” Manakala apabila sesuatu kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan dengan hak Allah, ulama’ mazhab Syafie berpendapat bahawa menghukum berdasarkan pengetahuan hakim di luar mahkamah adalah tidak harus. Menutup kesalahan yang dilakukan adalah sunat dan hukuman hudud hendaklah dielakkan sebarang kesamaran. Golongan ini berhujah berdasarkan kata-kata Saidina Abu Bakar yang bermaksud: “ Jika aku melihat seseorang lelaki melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukuman hudud tidak akan aku kenakan hudud sehingga dikemukakan keterangan atau bukti kepadaku.”

 PANDANGAN MAZHAB HANBALI 

Mazhab Hanbali mempunyai pandangan tidak harus bagi seorang hakim itu menggunakan pengetahuannya dalam kes-kes hudud dan bukan hudud kerana perlakuan tersebut akan menyebabkan tohmah dan sekaligus membawa kepada menghukum berdasarkan keinginan dan nafsu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Aku adalah seorang manusia dan kamu telah datang kepadaku agar aku memutuskan pertikaian kamu, mungkin ada di antara kamu yang lebih petah mengemukakan hujahnya daripada yang lain, maka aku pun memberikan hukuman untuknya berdasarkan apa-apa yang aku dengar. Selanjutnya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Bawalah dua orang saksi bagimu atau dia bersumpah dan tidak ada jalan lain melainkan demikian”. Selain dari itu, telah diriwayatkan bahawa telah datang dua orang lelaki bertikai kapada Saidina Umar, seorang daripada mereka berkata : “Tuan adalah saksi sy”. Saidina Umar berkata “jika kamu berdua mahu aku menjadi saksi, aku tidak akan menghukum kamu, atau aku menghukum tetapi tidak menjadi saksi. Berdasarkan dalil-dalil dan hujahan tersebut, adalah jelas menunjukkan pendirian dan pandangan golongan ini yang menekankan bahawa penggunaan ilmu al-qadhi di luar perbicaraan tidak boleh digunapakai di dalam semua kes. 

PANDANGAN IMAM MALIK DAN MAZHAB MALIKI 

Imam Malik dan kebanyakkan ulama Mazhab Maliki berpendapat tidak harus seseorang Hakim itu menggunakan pengetahuannya di dalam semua kes samaada diperolehinya sebelum atau selepas menjadi Hakim. Secara umumnya, golongan ini mempunyai hujah yang sama seperti Mazhab Hanbali. Golongan ini memberikan hujah tambahan bagi penggunaan ilmu al-qadhi di luar perbicaraan di dalam kes pembunuhan. Jika seorang Hakim itu mengetahui bahawa saudaranya telah melakukan pembunuhan dan Hakim tersebut telah bertindak berdasarkan pengetahuannya yang diperolehi di luar Mahkamah, maka Hakim tersebut akan membunuh saudaranya tersebut. Perlakuan Hakim tersebut akan diambil kira sebagai membunuh dengan sengaja. Oleh itu, hakim tersebut tidak berhak mewarisi harta saudaranya kerana wujudnya tohmah. 

 PANDANGAN MAZHAB HANAFI 

Golongan ini berpendapat bahawa ilmu al- Qadhi boleh digunakan di luar perbicaraan adalah diterima dalam perkara yang berhubung dengan hak manusia dengan syarat pengetahuan yang tersebut hendaklah diperolehinya semasa ia memegang jawatan Hakim. Manakala bagi hak Allah semata-mata seperti kes zina dan minum arak, maka berdasarkan istihsan ulama’ mazhab Hanafi berpendapat bahawa Hakim tidak digalakkan menghukum berdasarkan pengetahuannya kecuali di dalam dua (2) perkara sebagaimana berikut: 1) Kes curi : Di dalam kes ini, Hakim hendaklah menghukum tentang kedudukan harta yang dicuri bukan dan bukan menghukum pencuri, iaitu dengan hukuman memotong tangan; 2) Qisas dan Hudud kerana Qazaf : Hakim boleh menghukum pesalah bagi kesalahan Qisas dan Hudud yang disebabkan oleh perlakuan Qazaf (menuduh perempuan yang baik berzina). 

Walaupun begitu, Abu Yusof dan Muhammad pula berpendapat bahawa seorang Hakim boleh menghukum berdasarkan pengetahuannya sebelum ia di lantik menjadi Hakim, tetapi dengan syarat kes tersebut hendaklah dikemukakan kepadanya selepas ia dilantik menjadi Hakim. Akan tetapi, Imam Abu Hanifah berpendapat tidak harus ia berbuat demikian. Seterusnya, Ibnu Abidin telah menyimpulkan bahawa pada asalnya seseorang hakim itu harus menghukum berdasarkan pengetahuannya, tetapi beliau berpendapat bahawa cara yang sedemikian (menggunapakai pengetahuan di luar perbicaraan) adalah tidak oleh digunakan pada masa sekarang kerana wujud ketidaksesuaian berdasarkan keadaan atau perilaku hakim (hakim telah rosak). 

PANDANGAN MAZHAB DZAHIRI 

Mazhab Dzahiri berpendapat adalah wajib bagi seorang Hakim itu untuk menggunakan pengetahuannya di luar perbicaraan dalam kes-kes yang berhubung dengan hutang-piutang, Qisas, harta, kehormatan dan hudud. Golongan ini berpendapat bahawa ilmu al-Qadhi jenis ini adalah diterima tidak kira samaada ia memperolehi maklumat dan/atau pengetahuan tersebut sebelum atau selepas perlantikan dibuat. Golongan ini juga berpendapat bahawa hukuman yang dibuat berdasarkan pengetahuan hakim adalah lebih kuat kerana ia merupakan satu keyakinan. Seterusnya, golongan ini menghujahkan bahawa seorang hakim itu menghukum ta’dil (kepercayaan) dan tarjih (kebolehan) seseorang saksi itu berdasarkan pengetahuannya. 

Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Maidah ayat 8 ( ) yang nasnya berbunyi : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ Maksudnya: “Hendaklah kamu menegakkan keadilan menjadi saksi kerana Allah” Berdasarkan firman Allah s.w.t tersebut, adalah jelas bahawa keadilan itu perlu ditegakkan. Apbila suau keadilan itu tidak ditegakan walaupun hakim mengetahui akan hakikat sebenar perkara itu, maka suatu kezaliman akan timbul daripada tingkah laku tersebut. 


2.2.1 KES YANG DIPUTUSKAN BERDASARKAN ILMU AL-QADHI (LUAR PERBICARAAN)

Rujukan kes:

a)Plaintif telah membuat permohonan pengesahan lafaz cerai yang telah dilafazkan oleh suaminya, iaitu Defendan. Di dalam hal ini, Yang Arif Hakim merupakan jirannya yang tinggal bersebelahan dengan pihak-pihak telah terdengar lafaz tersebut dibuat. Berdasarkan pendengaran serta pengetahuan Yang Arif Hakim di luar perbicaraan tersebut, Yang Arif Hakim telah memutuskan bahawa telah jatuh talaq satu ke atas isteri tersebut selepas permohonan dibuat dan pihak-pihak dibawa kepada hadapannya.

No comments: