Monday, September 15, 2014

ilmu al-qadhi [Pengetahuan Hakim- Dalam Mahkamah]

1.0 PENGENALAN 

Suatu kesalahan dan/atau tanggungan dan/atau perkara yang ingin disabitkan dan /atau didakwa di Mahkamah Syariah memerlukan penjelasan dan/atau pengetahuan yangsempurna dan lengkap agar hukuman yang dijatuhkan atau penghakiman yang diputuskan adalah betul dan tepat. 

Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah ayat 42( ) yang nasnya berbunyi : وإن حكمت فاحكم بينهم بالقسط إن الله يحب المقسطين 

Maksudnya : “Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) diantara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.” 

Berdasarkan firman Allah s.w.t tersebut, adalah jelas bahawa Allah sentiasa menyarankan hamba-NYA membuat keputusan dengan adil. Dalam memutuskan suatu perkara yang menjadi pertelingkahan dan/atau perbalahan di antara dua (2) pihak, Hakim atau Qadhi adalah orang yang mempunyai kuasa dalam membuat penghakiman dan/atau keputusan. Namun begitu, sekiranya seorang hakim itu menyaksikan suatu kejadian dan mengetahui faktor-faktor latar belakang bagi kejadian itu, adakah harus baginya untuk membuat penghakiman dan keputusan. 

Dalam perkara ini, dalam menentukan suatu keputusan seorang hakim mempunyai dua (2) sumber pengetahuan dan maklumat yang dikenali sebagai ilmu al-Qadhi (Pengetahuan Hakim). 


 2.0 PENGERTIAN DAN BAHAGIAN ILMU AL-QADHI 

Ilmu Al-Qadhi ialah satu perkataan yang dimudafkan (disandarkan) kepada perkataan yang lain. Ilmu bererti pengetahuan, manakala al-Qadhi pula membawa maksud Hakim. Secara umumnya ilmu al-Qadhi ini membawa erti sebagai suatu pengetahuan dan/atau maklumat peribadi yang di dapati oleh seorang Hakim mengenai sesuatu perkara dan/atau kejadian. 

Ilmu al-Qadhi ini terbahagi kepada dua (2). Pertama, pengetahuan Hakim di dalam perbicaraan dan kedua adalah pengetahuan Hakim di luar perbicaraan. 

 2.1 PENGETAHUAN DALAM PERBICARAAN : 

Pengetahuan dalam perbicaraan adalah suatu pengetahuan dan/atau maklumat yang diperolehi oleh seorang hakim di dalam perbicaraan, yakni sepanjang prosiding di jalankan dihadapnnya. Namun begitu, para fuqaha’ telah memberikan pendapat yang berbeza-beza mengenai penggunaan pengetahuan hakim sebagai satu cara pembuktian apabila ianya dilihat dari beberapa sudut yang berbeza. 

Walaubagaimanapun, mereka pada dasarnya bersepakat mengenai beberapa perkara seperti hakim hendaklah berpegang kepada apa-apa yang diketahuinya mengenai sesuatu perkara dan kejadian, meskipun terdapat keterangan lain mengenainya. Selain dari itu, seorang Hakim juga boleh membuat keputusan bedasarkan pengetahuan peribadinya mengenai kebolehpercyaan (ta’dil) atau ketidakboleh percayaan (tarjih) terhadap kesaksian seseorang saksi. Hal ini bermakna, jika seorang Hakim itu mengetahui keadaan peribadi seseorang saksi itu, maka Hakim itu boleh membuat keputusan sama ada kesaksian saksi tersebut boleh diterima atau tidak boleh diterima kerana terdapat kecatatan sebagai misalnya. Maka di dalam kes seperti ini, hendaklah hakim tersebut membuat keputusan bedasarkan pengetahuannya itu. 

Pengetahuan hakim mengenai sesuatu yang berlaku dalam prosiding perbicaraan boleh diguna pakai olehnya sebagai alasan atau hujah untuk mengambil sesuatu tindakan atau keputusan. Sebagai contoh, di dalam kes-kes yang berkaitan dengan hibah, Hakim boleh membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman bedasarkan pengetahuannya. PANDANGAN IMAM AHMAD DAN IMAM SYAFIE Imam Ahmad dan Imam Syafie berpendapat hakim boleh menjatuhkan hukuman tanpa disyaratkan sekurang-kurangnya dua saksi lelaki. Tetapi boleh menerima fakta dakwaan dan sebab-sebab sabitnya dakwaan berdasarkan keterangan dan ikrar. Golongan ini berhujah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w di dalam sebuah kisah yang mana Rasulullah s.a.w telah mengarahkan sahabat untuk berjumpa dan ketemu seorang wanita yang telah didakwa melakukan zina. Maka Rasulullah s.a.w berkata kepada sahabat yang bermaksud: “Jika dia mengaku, maka rejamlah dia” 

 2.1.1 KES-KES YANG DIPUTUSKAN BERDASARKAN ILMU AL-QADHI (DALAM PERBICARAAN) 

Rujukan-rujukan kes:

a)Rokiah binti Che Hassan lwn Zakaria Bin Embong dan seorang lain JH (1428H) Disember 2007 Jld 24 Bhg 2.:

Plaintif telah membuat permohonan mengenai pengesahan pernikahannnya dengan Defendan 1, yang mana Plaintif adalah isteri kepada Defendan 1 yang telah berkahwin pada 12 haribulan Jun 1981 dan pihak-pihak pernah bercerai serta rujuk tetapi tidak didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah. Pada 15 haribulan Februari 1998 telah berlaku penceraian sekali lagi dan pihak-pihak tidak rujuk semula sehingga Plaintif habis eddah. Namun pada 01 haribulan Julai 1998, pihak-pihak telah menikah semula dan telah diakadkan oleh Defendan 2 dengan berwalikan wali saudara seibu sebapa. Walaubagaimanapun Plaintif mendakwa bahawa dia tidak hadir di majlis tersebut serta tidak pernah memberikan apa-apa keizinan bagi pernikahan baru tersebut dan merasa ragu mengenai pernikahan yang tidak didaftarkan. Setelah Mahkamah mendengar keterangan pihak-pihak dan saksi-saksi, maka Mahkamah telah memutuskan dan memfaraqkan pernikahan pihak-pihak serta memerintahkan mereka berkahwin semula mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

b) Mohd Illhdzan bin Mohd Ali dan Ayoub Izaruddin Bin Mohd Ali lwn Aiyuhanil Binti Mohd Ali JH (1432H) September 2007 Jld 33 Bhg 1:

Dalam kes ini, Pemohon 1 dan Pemohon 2 telah membuat pemohonan pengesahan Hibah terhadap hartanah-hartanah yang dimiliki atas nama Rsponden yang dikatakan bagawa hartanah-hartanah tersebut adalah hak milik bapa (Si Mati). Pemohon 1 dan Pemohon 2 menyatakan bahawa hartanah-hartanah tersebut (2 keping tanah) telah dihibahkan semasa hayat Si Mati kepada mereka. Walaubagaimanapun hartanah-hartanah tersebut telah dinamakan atas nama Responden pada ketika itu kerana Pemohon 1 dan Pemohon 2 masih belum mencapai umur dewasa dan/atau kelayakan. Maka, setelah Mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi dan hujah pihak-pihak. Mahkamah meluluskan permohonan Pemohon-pemohon sebagaimana yang dipohon dan mengihstiharkan hartanah-hartanah tersebut sebagai hibah. 

c) Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn Rosli Bin Abdul Japar JH (1428H) Jun 2007 Jld XXIII Bhg II:

Tertuduh telah dipanggil membela diri atas tuduhan melakukan persetubuhan haram dengan Cik Murni Binti Muhammad sehingga melahirkan anak luar nikah bernama Hasmawi Bin Abdullah. Sepanjang prosiding yang dijalankan, sbebeapa keterangan dan bukti-bukti telah dikemukakan termasuklah keterangan pakar dan pembuktian secara saintifik (laporan DNA). Oleh itu, berdasarkan pengetahuan yang diperolehi oleh Yang Arif Hakim Bicara, maka Mahkamah memutuskan bahawa Tertuduh dikenakan hukuman denda sebanyak RM 3000 dan jika gagal bayar di denda enam (6) bulan penjara.

No comments: