Friday, October 23, 2015

KECELARUAN JANTINA BUKAN BAHAN GURAUAN

Masih segar dalam memori penulis ketika singgah di sebuah tandas perhentian lebuhraya apabila terserempak dengan sekumpulan lelaki berpakaian wanita yang berkongsi tandas perempuan, terkejut dan keliru kerana ingatkan tersalah masuk tandas lelaki apabila mendengar suara mereka yang betul-betul lelaki! Apakah sudah tiba masanya pihak berkenaan menyediakan tandas khusus untuk golongan ini bagi mengelakkan kekeliruan? Berkongsi tandas mungkin masalah remeh, tetapi bagaimana pula reaksi kita apabila kumpulan ini secara terang-terangan berani mencabar Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan berkaitan kesalahan berpakaian seperti wanita sebagai tidak berperlembagaan? Sekalipun keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2015 lalu tidak menyentuh berkenaan merit kes, namun setidak-tidaknya kita lega apabila usaha kumpulan ini telah ditolak secara total.
Kebesaran Allah sebagai pencipta yang Maha Agung diterjemahkan melalui penciptaan manusia sebagai makhluk di atas muka bumi ini. Di dalam membicarakan persoalan jantina, Islam secara khususnya membahagikan kepada lelaki, perempuan, khunsa (jelas dan musykil), serta mukhannas dan mukhannis. Sungguhpun begitu, khunsa tidak dinyatakan atau disebut di dalam Al-Quran dan hadith-hadith shahih, namun ia hanya dinyatakan di dalam sebahagian athar (peninggalan para sahabat) sahaja. 
 
KHUNSA 
Khunsa berasal daripada perkataan arab yang membawa erti sebagai lembut. Manakala Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat menafsirkannya sebagai orang yang mempunyai dua alat kelamin. Fiqh Islam pula membahagikan khunsa kepada dua keadaan, dimana keadaan pertama adalah khunsa wadih dan khunsa musykil.   
Khunsa wadih adalah seseorang yang mempunyai dua alat alat kelamin (zakar dan faraj) dan bagi sesetengah khunsa, salah satu alat kelamin yang ada memang benar-benar berfungsi. Sebaliknya, khunsa musykil pula adalah seseorang yang tidak dapat ditentukan jantinanya kerana kedua-dua alat kelamin yang ada tidak nampak jelas berfungsi. Keadaan kedua khunsa pula adalah apabila seseorang itu tidak langsung mempunyai alat kelamin, sebaliknya hanya mempunyai lubang sekadar untuk membuang air kencing. 

PENENTUAN JANTINA 
Dalam menentukan jantina khunsa sama ada lelaki ataupun perempuan, para cendikiawan membahagikannya kepada dua hal, iaitu sebelum dan selepas baligh. Prof Abdul Bin Mohamad Bin Ahmad al-Tayyar, seorang Profesor di Universiti al-Qassim, Arab Saudi telah menggariskan bagi golongan khunsa yang belum mencapai umur baligh, ia dapat dilihat daripada cara membuang air kencing. Jika khunsa itu membuang air kencing dan keluarnya air tersebut daripada farajnya (kemaluan) dan dia didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai seorang perempuan. Sekiranya dia memiliki kedua-dua alat kelamin tetapi keluarnya air kencing dari saluran zakar dan dia tidak didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai seorang lelaki. Pandangan ini juga telah disepakati oleh majoriti ulama.

Jantina khunsa dewasa pula dapat dikenalpasti melalui perubahan yang dialami oleh khunsa itu sendiri termasuklah seperti pertumbuhan janggut, halkum, misai dan lain-lain bagi jantina lelaki. Manakala dalam menentukan jantina wanita pula, antara tanda-tanda yang dapat dikenalpasti adalah seperti kedatangan haid, tumbuh buah dada, hamil dan seumpamanya. Namun begitu, jika tidak terdapat padanya sebarang tanda-tanda yang menunjukkan jantinya, maka dapat dilihat dari segi pergaulannya. Jika dia cenderung kepada wanita, maka dia adalah lelaki dan begitulah sebaliknya. 
Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Sunan Al-Baihaqi yang meriwayatkan: Hussin Bin Kathir telah mendengar daripada bapanya yang menyatakan bahawa: “Aku telah melihat Saidina Ali r.a di dalam menentukan jantina khunsa, dimana beliau berkata: “lihatlah kepada jalan keluarnya air kencing, maka ditentukan jantinanya daripada itu. Di dalam satu riwayat yang lain, Ali r.a berkata: “Sekiranya air kencing itu keluar melalui zakarnya, maka dia adalah seorang lelaki. Dan sekiranya ia keluar dari faraj (kemaluan), maka ia adalah seorang perempuan.” Selain itu, terdapat juga cara lain dalam menentukan jantina khunsa iaitu dengan mengira tulang rusuknya. Dalam satu riwayat yang menceritakan peristiwa khunsa ketika zaman pemerintahan Saidina Ali r.a apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita khunsa yang memiliki dua alat kelamin. 

Dalam tempoh perkahwinan, mereka telah dikurniakan cahayamata dan selepas daripada itu, suaminya telah menghadiahkan seorang pembantu (jariah) untuknya. Pada masa yang sama, isteri tersebut telah tertarik kepada pembantunya lalu menyetubuhinya sehingga pembantu tersebut melahirkan anak. Perkhabaran tersebut telah disampaikan kepada Saidina Ali r.a, lalu baginda telah menghantar pakar untuk menghitung tulang rusuk wanita itu bagi mengenal pasti jantinanya. Idea dan pandangan Saidina Ali r.a ini adalah bertepatan dengan ketentuan Allah s.w.t yang menjadikan Hawa dengan mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri nabi Adam a.s. Setelah daripada itu, Saidina Ali r.a telah memutuskan bahawa wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinan dengan suaminya kerana dianggap tidak sah. 
  
PEWARISAN DAN BAHAGIANNYA 

Sekalipun khunsa tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci di dalam kedua-dua sumber rujukan utama, namun Islam tidak pernah menyisihkan mereka. Hal ini jelas apabila Islam tetap memperuntukkan hak dan bahagian mereka dalam agihan harta pusaka. Namun begitu, setiap pewarisan yang diterima adalah berbeza berdasarkan jenis dan/atau keadaan khunsa itu sendiri. Imam Abu Hanafiah berpendapat bahawa khunsa wadih akan mendapat haknya sebagaimana perempuan ataupun lelaki. Pandangan ini tidak dipersetujui oleh Imam Malik, Abu Yusuf dan golongan syiah al-Imamiyyah, dimana mereka berpandangan bahawa golongan khunsa wadih ini berhak mendapat harta pusaka secara pertengahan di antara bahagian lelaki dan perempuan. Namun begitu, Imam Abu Hanafiah membezakan bahagian golongan khunsa musykil dalam penerimaan pewarisan harta pusaka, dimana dia hanya berhak menerima bahagian dengan kadar melebihi sedikit daripada apa yang diperolehi oleh perempuan ataupun lelaki. 
PERKAHWINAN 

 Walaupun golongan khunsa ini mempunyai dua alat kelamin, namun ia tidak menghalangnya dari membina sebuah keluarga. Perkahwinan adalah fitrah dan keinginan setiap manusia termasuklah golongan khunsa. Meskipun begitu, Islam membataskan had-had tertentu demi menjaga maqasid syariah. Oleh itu, Islam meletakkan bahawa harus bagi seorang khunsa wadih untuk berkahwin dengan pasangan yang berbeza jantina dengannya. Ibn Qudamah menyatakan jika tanda-tanda yang menunjukkan suatu jantina itu jelas, maka tidak menjadi masalah baginya untuk berkahwin. Namun begitu, tidak bagi khunsa musykil, dimana majoriti ulama menyatakan bahawa tidak sah perkahwinan golongan ini.
Hal ini kerana jantina khunsa itu sendiri tidak mampu dikenalpasti dan mempunyai pelbagai kemungkinan samaada dia seorang lelaki ataupun seorang perempuan. Namun begitu, jika golongan khunsa musykil ini didatangi nafsu syahwat, bagaimana cara untuk mengatasinya? Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam Hadithnya bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan, maka laksanakanlah perkahwinan kerana sesungguhnya ia mampu menjaga pandangan dan kemaluan kamu (daripada zina). Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah.” Sesungguhnya puasa itu mampu menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang terlarang. Walaubagaimanpun, sekiranya mereka tidak mampu untuk berpuasa dan dalam keadaan seperti ini, Sheikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin, seorang ulama era komtemporari dalam bidang sains fiqh menyatakan bahawa adalah perlu untuk mereka mendapatkan nasihat doktor serta mengambil ubat-ubatan yang disarankan. 
Sesungguhnya larangan Islam ini bukanlah semata-mata untuk menganiyai golongan khunsa musykil ini tetapi adalah untuk menjaga nilai dan matlamat suci sesebuah ikatan perkahwinan. Oleh demikian, berdasarkan fatwa yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Dec 1989 telah membincangkan Kedudukan Mak Nyah dalam Islam menyatakan bahawa seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai. 
Kecelaruan jantina bukanlah suatu yang perlu ditertawakan di dalam masyarakat kita. Sudah tiba masanya pihak yang berkenaan memainkan peranan aktif untuk mendekati golongan ini bagi maksud dakwah. Dakwah bukan hanya terhad kepada kuliah-kuliah di masjid, tetapi turun ke gelanggang bagi menghayati dan memahami serta merawati penyakit masyarakat juga adalah suatu jihad!

No comments: