Friday, October 23, 2015

Perjanjian Pra Perkahwinan sebagai Ta’liq tambahan atau Tebus Talaq?

Perjanjian Pra Perkahwinan sebagai Ta’liq tambahan atau Tebus Talaq? 

Perjanjian pra perkahwinan adalah satu perjanjian yang dibuat oleh pasangan bakal suami dan bakal isteri mengenai perkara-perkara tertentu sebelum melangsungkan perkahwinan. Sebahagian ahli ilmuan mengatakan bahawa perjanjian pra perkahwinan ini boleh dikatakan sebagai pertambahan Ta’liq, iaitu satu kontrak yang dibacakan selepas akad nikah atau pertambahan kontrak. 


Ta’liq 

Ta’liq ialah talaq yang dijatuhkan atau disandarkan ke atas sesuatu perkara tertentu pada masa akan datang dengan menggunakan lafaz pensyaratan ta’liq. Manakala, seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [EUKI (NS 2003)] mendefinisikan ta’liq sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini. Berdasarkan lafaz ta’liq yang telah dikanunkan tersebut, terdapat tiga (3) unsur dan/ata elemen yang ditekankan termasuklah pemberian nafkah kepada isteri, meninggalkan isteri lebih daripada tempoh yang tertentu dan mencerakan atau menyakiti isteri. Selain daripada tiga (3) perkara itu, tiada penambahan boleh dilakukan dan undang-undang syariah tidak mengiktiraf perjanjian pra perkahwinan ini sebagaimana undang-undang sivil. 

Namun begitu, Dr. Mohd Naim Bin Mokhtar Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor berpandangan bahawa perkara-perkara tambahan yang tidak dikanunkan sebagai ta’liq yang hanya dinyatakan atau ditulis dan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dalam perjanjian pra perkahwinan itu tidak semestinya tidak sah. Walaupun ia tidak dikanunkan, namun jika berlaku perlanggaran sebagaimana yang sudah ditulis di dalam perjanjian itu perceraian tetap sah, tetapi tidak jatuh di bawah seksyen 50 EUKI (NS 2003) sebaliknya jatuh sebagai perceraian umum, di luar atau tanpa kebenaran mahkamah di bawah seksyen 55A EUKI (NS 2003). Amir Bahari, seorang peguam Syarie dan juga seorang peguam litigasi berpendapat bahawa perjajian pra perkahwinan tersebut amat penting terutamanya kepada golongan wanita. Hal ini kerana kuasa untuk menjatuhkan talaq adalah terletak pada kekuasaan suami. Selanjutnya, ta’liq tambahan pada dasarnya adalah perjanjian yang dilakukan sebelum perkahwinan sama seperti perjanjian pra perkahwinan tetapi perlu dipersetujui kedua belah pihak pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan itu. 

Dalam hubungan ini, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor menyatakan: Jika pasangan itu bersetuju dengan ta’liq tambahan itu, maka pengantin lelaki perlu melafazkan perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu sejurus akad nikah dilaksanakan. Berdasarkan ulasan dan pandangan beliau, jelas menunjukkan bahawa waktu kebsahan ta’liq adalah selepasnya berlaku akad nikah. Tiada ta’liq ke atas sesuatu yang belum menjadi milikan seseorang dan ini adalah selari dengan tafsiran akad itu sendiri. Ta’liq terbahagi kepada dua, iaitu secara lafaz dan secara makna. Ta’liq lafzi ialah lafaz yang mengandungi kata hubung dengan jelas seperti sekiranya, jika dan lain-lain. Manakala ta’liq maknawi pula adalah lafaz yang diucapkan dan tidak mengandungi kata hubung secara jelas, namun ia wujud dan hadir/datang secara literal (makna). 


Pensyariatan ta’liq 

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang berbunyi: الطَلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ Maksudnya: Talak itu ada dua (yang boleh diruju'), peganglah isteri kamu dengan cara yang baik atau lepaskan dengan ihsan (terhadap steri kamu)" Ayat ini juga disokong dengan hadith Nabi s.a.w yang berbunyi: المسلمون عند شروطهم Maksudnya: “Orang muslim adalah di sisi syarat-syarat mereka” 

 

Syarat ta’liq 

Terdapat dua (2) syarat ta’liq yang telah digariskan oleh Prof Dr Wahbah sebagaimana berikut: 

 (i) Hendaklah syarat yang digantungkan itu bebas daripada sebarang bahaya atau mudharat. Dalam konteks ini, sekiranya syarat yang digantungkan itu wujud, maka jatuhlah talaq pada masa itu (munjiz). Sekiranya ia digantungkan kepada sesuatu yang mustahil, maka tidak jatuh talaq tersebut. Hal ini kerana pada pandangan ulama’ Hanafi dan dipersetujui oleh yang lain bahawa lafaz ta’liq tersebut tidak sah. 

(ii) Hendaklah lafaz ta’liq tersebut dilafazkan kepada isteri yang sah atau dalam eddah talaq raji’e (dalam wilayahnya).

No comments: