PENGENALAN
Perkahwinan merupakan satu jalinan yang kukuh berpandukan aspek penyatuan terhadap beberapa elemen seperti perasaan, kasih sayang, kepercayaan, penghormatan, komitmen, peranan dan tanggungjawab dan seumpamanya. Perkahwinan bertujuan untuk memenuhi tuntutan naluri kemanusiaan, dari segiperhubungan jenis, pergaulan, berkasih sayang, bertimbang rasa dan cara yang halal untuk mendapatkan zuriat dan keturunan. Ini disebabkan ikatan perkahwinan itu menghalal dan membolehkan lelaki dan perempuan hidup bersama sebagai suami isteri melalui akad nikah dengan persetujuan dan kerelaan kedua-dua pihak.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah ar-Rum ayat 21: وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ Terjemahannya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
PERCERAIAN DI SISI UNDANG-UNDANG DAN HUKUM SYARAK
Islam sangat mengambil berat tentang kehidupan dalam rumah tangga dan keluarga. Al-Quran dan Sunnah telah meletakkan panduan dan garis panduan yang perlu diikuti. Undang-Undang Keluarga Islam memperincikan hukum-hukum kekeluargaan bermula dengan pertunangan, perkahwinan, wali, akad nikah, saksi, hak dan tanggungjawab dalam ikatan perkahwinan sehinggalah kepada pembubaran perkahwinan, nafkah, iddah dan hadanah. Perundangan sebegini begitu indah diatur oleh Allah SWT demi kemaslahatan manusia keseluruhannya. Pengabaian kepada peraturan yang ditetapkan boleh mendatangkan kepincangan dan sengketa dalam rumah tanggaAgama Islam merupakan agama yang menganjur dan sangat menitikberatkan kasih sayang, penyatuan dan pemuafakatan. Apabila perceraian berlaku maka nilai-nilai yang baik itu menjadi rosak dan pecah bertaburan sebagai kesan kepada persengketaan dan kemelut keluarga.
Pensyariatan perceraian membuktikan keterbukaan Islam dalam menyelesaikan konflik dan menyelamatkan sesebuah rumah tangga daripada terus dibelenggu masalah. Perceraian merupakan perkara halal yang paling dibenci Allah SWT sebagaimana di dalam Hadith Nabi Muhammad s.a.w : “ Semurka-muka Allah benda yang halal ialah talaq" Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim Di Malaysia, perceraian merupakan satu perkara yang paling ditakuti oleh setiap orang yang melangsungkan perkahwinan. Kadar perceraian yang berlaku semakin meningkat dari hari ke hari. Perceraian boleh berlaku dalam beberapa bentuk dan tidak hanya tertakluk pada lafaz talak. Sesuatu perceraian boleh terlaksana berdasarkan peruntukan di dalam bahagian V- Pembubaran Perkawinan di dalam Akta Undang- undang Keluarga Islam ( Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan dengan perceraian ini, antaranya adalah kewujudan pihak ketiga yang mempengaruhi pihak-pihak supaya bercerai.
PERCERAIAN KERANA PIHAK KETIGA
Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) , Musa Awang, mereka yang dikategorikan sebagai orang ketiga boleh merujuk kepada pasangan kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita (lesbian), llelaki dengan lelaki ( gay) , kalangan keluarga, saudara mara, adik- beradik, ibu bapa atau datuk dan nenek. Katanya lagi, sebanyak 12 peratus punca perceraian di Negara ini disebabkan faktor orang ketiga. Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan perbuatan dalam bentuk fizikal atau pun spiritual (sihir). Gangguan dalam bentuk fizikal biasanya membabitkan permainan cinta tiga segi atau pasangan itu bermain kayu tiga. Pihak ketiga ini biasanya dikaitkan dengan suami atau isteri yang mempunyai kekasih hati sehingga menyebabkan salah satu ‘beralih arah’.
Selain itu juga, dikalangan mertua ataupun sahabat handai yang juga kadangkala menghasut, membanding-bandingkan dengan pasangan yang lain juga boleh menjurus kepada perceraian. Melihat kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri hanya berbidang kuasa di dalam hal-hal berkaitan dengan Agama Islam sebagaiman yang diperuntukkan di bawah jadual 9., senarai 2, senarai negeri, Perlembagaan Persekutuan. Manakala di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam pula tidak terdapat sebarang peruntukan khusus yang membolehkan seorang isteri yang diceraikan disebabkan pihak ketiga menyaman pihak ketiga tersebut .
Namun begitu, di dalam Akta Jenayah Syariah terdapat peruntukan yang mengaitkan pihak ketiga ini. Kesalahan ini terdapat dibawah Kesalahan Pelbagai di dalam Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 bahagian V –Kesalahan Pelbagai. Seksyen 37 enakmen tersebut memperuntukkan :- “Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidupsebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahandan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudahbernikah dengan sah.”
Seksyen 38 Enakmen tersebut pula memperuntukkan :- Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tigatahun atau kedua-duanya. Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, jelas menunjukkan bahawa mana-mana orang itu termasuklah pihak ketiga yang cuba atau mempengaruhi suami atau isteri sehingga membawa kepada perceraian.
Menurut Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut menyatakan bahawa akta berkenaan memberikan pendefinisian orang ketiga sebagai penceroboh institusi kekeluargaan serta individu terbabit juga boleh dikenakan tindakan sewajarnya. Pihak ketiga atau orang yang mencampuri hal-hal rumah tangga dengan menghasut, memujuk dan juga menghalang perhubungan mereka sebagai suami isteri yang sah sehingga membawa kepada perceraian boleh dikenakan tindakan. Mereka boleh diambil tindakan berdasarkan kesalahan yang di lakukan sepertimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 37 dan 38 enakmen tersebut.
Melihat kepada peruntukan –peruntukan di atas, adalah jelas menunjukkan bahawa, mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa yang khusus berkaitan apa-pa saman terhadap pihak ketiga yang dipercayai mengakibatkan perceraian. Walaubagaimanapun, pihak yang merasakan bahawa mereka teraniyai disebabkan oleh pihak ketiga ini boleh mengambil tindakan terhadap pihak ketiga ini dengan melaporkan ke bahagian Penguatkuasaaan Agama Jabatan Agama Islam untuk disiasat dan sekiranya di dapati bersalah dan seterusnya boleh di dakwa oleh Bahagian Pendakwa Syarie. Tan Sri Ibrahim Lembut juga menyatakan bahawa Akta tersebut sudah lama digubal, tetapi tidak dikuatkuasakan mungkin kerana ramai yang tidak tahu mengenainya, dan penguatkuasaannya diharap dapat dijadikan pengajaran atau penghalang kepada keruntuhan rumah tangga.
Tuan Musa Awang juga berkata bahawa setiap perkahwinan yang mengalami permasalahan terhadap pihak ketiga dan apa yang boleh dilakukan bagi mengelakkan perceraian akibat orang ketigaini adalah dengan munasabah diri sendiri, berbaik antara pasangan, memohon kepada Allah dan juga sering membaca Al—Quran. Di samping itu, kepercayaan perlu diberikan di antara suami isteri dan cuba menyelesaikan permasalahan yang terjadi di dalam rumah tangga mereka serta mengelakkan daripada bercerita dan berkongsi masalah terhadap orang luar. Pasangan suami isteri juga seharusnya berusaha untuk mengelakkan daripada timbul sebarang konflik di dalam rumah tangga serta menghargai pasangan masing-masing, dimana sikap bertolak ansur itu sangat penting dan sering mengambil tahu keadaan pasangan.
KESIMPULAN
Perceraian bukanlah jalan singkat yang perlu diambil bagi menamatkan sebuah jalinan ikatan yang suci lagi murni iaitu perkahwinan. Penglibatan pihak ketiga ini perlu diambil berat dan dicegah daripada terus dan membawa perkahwinan kepada perceraian.Secara undang-undangnya, mereka perlu dikenakan hukuman dan tindakan yang dapat memberikan kesedaran daripada terus menjadi pengongcang kebahagiaan rumah tangga.
