Apakah yang dimaksudkan dengan rujuk? Rujuk adalah mengambil kembali wanita yang telah ditalak dan mempertahankan ikatan perkahwinannya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang mafhumnya: " Talak yang boleh dirujuk itu dua kali maka rujuklah dengan baik atau ceraikan dengan baik" . Dalam sebuah hadis daripada ibnu Umar r.a Sesungguhnya tatkala beliau menceraikan isterinya (dalam masa haid), lalu Baginda s.a.w berkata kepada Umar (bapanya): "Suruhkanlah dia (anakmu) supa adia rujuk balik kepada isterinya."
Dalam memastikan keabsahan dan keesahan rujuk, sudah pasti terdapat syarat dan/atau rukun yang mesti patuhi terlebih dahulu. Mazhab Syafie memperincikan bahawa rujuk itu hendaklah memenuhi tiga (3) rukun seperti berikut:
i) Rukun Pertama - al-murtaji (orang/suami yang merujuk)
ii) Rukun Kedua - al- mahall (tempat/orang yang dirujuk [isteri])
iii)Rukun Ketiga - sighah (lafaz rujuk)
Manakala syarat sah rujuk itu pula dibahagikan kepada sembilan (9) sebagaimana berikut:
Pertama: Murtaji itu hendaklah orang yang mempunyai kelayakan berkahwin dengan sendirinya, iaitu seorang yang berakal,baligh dan membuat pilihan sendiri. Oleh itu, tidak sah rujuk seorang yang gila, kanak-kanak, orang yang dipaksa merujuk isterinya dan orang murtad.
Kedua: Isteri yang di cerai itu boleh menjadi halal bagi suami yang merujuk. Oleh itu tidak sah merujuk isteri yang murtad pada ketika riddahnya, kerana tujuan rujuk itu ialah halal sedangkan riddah menafikan halal. Demikian juga kalau suami jadi murtad atau kedua-duanya murtad tidak sah rujuk.
Ketiga: Isteri yang di cerai itu hendaklah ditentu atau dipastikan, kerana jika ia menceraikan salah seorang isterinya yang tidak ditentukannya, kemudian dirujuk isteri yang di cerai itu, maka tidak sah rujukannya. Demikian juga sekiranya ia menceraikan kedua-dua orang isterinya kemudian dia merujuk salah seorang darinya dengan tidak ditentukan juga, tidak sah rujuknya.
Keempat: Hendaklah isteri itu telah disetubuhi atau diwati (begitu juga memasukkan air mani suami secara yang diharuskan ke dalam farajnya samalah dengan hukum bersetubuh atau wati), maka tidak sah merujuk isteri yang ditalak sebelum disetubuhi kerana ia menjadi bain dengan talak sebelum disetubuhi dan kerana ia tidak wajib beriddah.Allah berfirman di dalam surah al- Ahzab ayat 49 yang mafhumnya: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya (menyetubuhinya) maka tidaklah wajib atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan.”
Kelima: Hendaklah perceraian itu dengan talak, maka tidak sah rujuk isteri yang di cerai dengan yang lain dari talak seperti fasakh dan khuluk.
Keenam: Hendaklah talak itu tidak sampai kepada kadar had maksimumnya iaitu tiga talak bagi orang merdeka dan dua talak bagi hamba. Maka tidak sah dirujuk isteri yang ditalak bagi hamba. Maka tidak sah dirujuk isteri yang ditalak tiga sekali gus atau satu demi satu, bahkan tidak sah dikahwininya melainkan setelah melalui proses tahlil.
Ketujuh: Hendaklah talak itu tanpa bayaran. Oleh itu tidak sah rujuk isteri yang di cerai dengan bayaran seperti tebus talak (khuluk) kerana perceraian dengan khuluk itu memutuskan perkahwinanyang tidak boleh dirujuk lagi.
Kelapan: Hendaklah rujuk itu dilakukan sebelum berakhirnya iddah. Oleh itu tidak sah rujuk isteri yang di cerai dan telah berakhir iddahnya, kerana ia telah menjadi ajnabiyyah (orang asing) setelah habis iddahnya. Walau bagaimanapun boleh dikahwini semula dengan aqad yang baru.
Kesembilan: Hendaklah rujuk itu dengan lafaz tertentu datangnya dari lelaki bukannya dari wanita.
Setelah dipastikan syarat dan rukun ini dipenuhi, maka suatu rujuk boleh dilakukan. Namun apabila rujuk telah dilafazkan oleh si suami, bagaimana dengan isteri? Perlukah persetujuannya? Dalam konteks ini, suami mempunyai hak untuk merujuk semula isterinya tanpa persetujuan isteri sebagaimana suami itu mempunyai hak untuk menceraikannya. Namun, para isteri jangan khuatir kerana para isteri juga mempunyai hak untuk menolak rujuk itu.
Subseksyen 51 (9) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) AKTA 303 memberikan jaminan kepada para isteri berhubung perkara ini dengan memepruntkkan: "(9) Jika selepas talaq raj’i suami melafazkan ruju’ tetapi isteri tidak bersetuju terhadap ruju’ itu kerana sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya."
Haruslah dititikbertakan bahawa alasan yang diberikan bagi menolak rujuk itu adalah alasan yang musabah seperti faktor keselamatan dan lain-lain yang difikirkan sesuai dan patut. Oleh itu, jangan panik jika suami anda melafazkan rujuk dan pada masa yang sama anda tidak mahukan ia. Semoga bermanfaat.