Wednesday, September 1, 2021

Rujuk, Perlukah persetujuan Si Isteri?

Apakah yang dimaksudkan dengan rujuk? Rujuk adalah mengambil kembali wanita yang telah ditalak dan mempertahankan ikatan perkahwinannya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang mafhumnya: " Talak yang boleh dirujuk itu dua kali maka rujuklah dengan baik atau ceraikan dengan baik" . Dalam sebuah hadis daripada ibnu Umar r.a Sesungguhnya tatkala beliau menceraikan isterinya (dalam masa haid), lalu Baginda s.a.w berkata kepada Umar (bapanya): "Suruhkanlah dia (anakmu) supa adia rujuk balik kepada isterinya." 

Dalam memastikan keabsahan dan keesahan rujuk, sudah pasti terdapat syarat dan/atau rukun yang mesti patuhi terlebih dahulu. Mazhab Syafie memperincikan bahawa rujuk itu hendaklah memenuhi tiga (3) rukun seperti berikut: 

 i) Rukun Pertama - al-murtaji (orang/suami yang merujuk) 

 ii) Rukun Kedua - al- mahall (tempat/orang yang dirujuk [isteri]) 

iii)Rukun Ketiga - sighah (lafaz rujuk) 

Manakala syarat sah rujuk itu pula dibahagikan kepada sembilan (9) sebagaimana berikut: 

Pertama: Murtaji itu hendaklah orang yang mempunyai kelayakan berkahwin dengan sendirinya, iaitu seorang yang berakal,baligh dan membuat pilihan sendiri. Oleh itu, tidak sah rujuk seorang yang gila, kanak-kanak, orang yang dipaksa merujuk isterinya dan orang murtad. 

Kedua: Isteri yang di cerai itu boleh menjadi halal bagi suami yang merujuk. Oleh itu tidak sah merujuk isteri yang murtad pada ketika riddahnya, kerana tujuan rujuk itu ialah halal sedangkan riddah menafikan halal. Demikian juga kalau suami jadi murtad atau kedua-duanya murtad tidak sah rujuk. 

Ketiga: Isteri yang di cerai itu hendaklah ditentu atau dipastikan, kerana jika ia menceraikan salah seorang isterinya yang tidak ditentukannya, kemudian dirujuk isteri yang di cerai itu, maka tidak sah rujukannya. Demikian juga sekiranya ia menceraikan kedua-dua orang isterinya kemudian dia merujuk salah seorang darinya dengan tidak ditentukan juga, tidak sah rujuknya. 

Keempat: Hendaklah isteri itu telah disetubuhi atau diwati (begitu juga memasukkan air mani suami secara yang diharuskan ke dalam farajnya samalah dengan hukum bersetubuh atau wati), maka tidak sah merujuk isteri yang ditalak sebelum disetubuhi kerana ia menjadi bain dengan talak sebelum disetubuhi dan kerana ia tidak wajib beriddah.Allah berfirman di dalam surah al- Ahzab ayat 49 yang mafhumnya: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya (menyetubuhinya) maka tidaklah wajib atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan.” 

Kelima: Hendaklah perceraian itu dengan talak, maka tidak sah rujuk isteri yang di cerai dengan yang lain dari talak seperti fasakh dan khuluk. 

Keenam: Hendaklah talak itu tidak sampai kepada kadar had maksimumnya iaitu tiga talak bagi orang merdeka dan dua talak bagi hamba. Maka tidak sah dirujuk isteri yang ditalak bagi hamba. Maka tidak sah dirujuk isteri yang ditalak tiga sekali gus atau satu demi satu, bahkan tidak sah dikahwininya melainkan setelah melalui proses tahlil. 

Ketujuh: Hendaklah talak itu tanpa bayaran. Oleh itu tidak sah rujuk isteri yang di cerai dengan bayaran seperti tebus talak (khuluk) kerana perceraian dengan khuluk itu memutuskan perkahwinanyang tidak boleh dirujuk lagi. 

Kelapan: Hendaklah rujuk itu dilakukan sebelum berakhirnya iddah. Oleh itu tidak sah rujuk isteri yang di cerai dan telah berakhir iddahnya, kerana ia telah menjadi ajnabiyyah (orang asing) setelah habis iddahnya. Walau bagaimanapun boleh dikahwini semula dengan aqad yang baru. 

Kesembilan: Hendaklah rujuk itu dengan lafaz tertentu datangnya dari lelaki bukannya dari wanita. 

Setelah dipastikan syarat dan rukun ini dipenuhi, maka suatu rujuk boleh dilakukan. Namun apabila rujuk telah dilafazkan oleh si suami, bagaimana dengan isteri? Perlukah persetujuannya? Dalam konteks ini, suami mempunyai hak untuk merujuk semula isterinya tanpa persetujuan isteri sebagaimana suami itu mempunyai hak untuk menceraikannya. Namun, para isteri jangan khuatir kerana para isteri juga mempunyai hak untuk menolak rujuk itu. 

Subseksyen 51 (9) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) AKTA 303 memberikan jaminan kepada para isteri berhubung perkara ini dengan memepruntkkan: "(9) Jika selepas talaq raj’i suami melafazkan ruju’ tetapi isteri tidak bersetuju terhadap ruju’ itu kerana sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya." 

Haruslah dititikbertakan bahawa alasan yang diberikan bagi menolak rujuk itu adalah alasan yang musabah seperti faktor keselamatan dan lain-lain yang difikirkan sesuai dan patut. Oleh itu, jangan panik jika suami anda melafazkan rujuk dan pada masa yang sama anda tidak mahukan ia. Semoga bermanfaat.

Monday, October 26, 2015

Hibah: Definisi & Hukumnya

1.0 Definisi 

 Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah. 

Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. 

Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hibah adalah seperti berikut: (i) Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak. (ii) Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat. (iii) Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad). (iv)Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah. (v) Ia dibuat secara sukarela tanpa paksaan. (vi)Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang 


1.1 Hukum dan Pensyariatan Hibah 

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al- Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nisa’ ayat 4 yang nasnya berbunyi: وَءآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” Selanjutnya, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 177 yang nasnya berbunyi: وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ Maksudnya: “... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta minta dan (memerdekakan) hamba sahaya”

Friday, October 23, 2015

pre nuptial sandaran perceraian? (2)

Akad (Ijab dan qabul) 

Akad dari sudut penggunaan bahasa Arab mempunyai makna yang pelbagai antaranya, janji, jaminan, kepercayaan dan ikatan (sama ada ikatan sebenar seperti mengikat tali atau ikatan simbolik seperti ikatan ijab dan qabul dalam akad jual-beli). Manakala, Kamus Dewan pula memberikan pengertian akad sebagai janji dan perjanjian. 

Perkataan akad merupakan perkataan yang sinonim dengan perkataan kontrak. Akad dari istilah fiqh ialah ikatan di antara ijab dan qabul yang dibuat mengikut cara yang disyariatkan yang sabit kesannya pada barang berkenaan. Dengan perkataan lain akad melibatkan pergantungan cakapan salah satu pihak yang berakad dengan cakapan pihak yang satu lagi, mengikut ketentuan syarak yang akan melahirkan kesan pada barang yang diakadkan. (al-Zuhaily,Wahbah, 2002, Fiqh & perundangan Islam, pent. Md. Akhir Haji Yaacob, Dewan Bahasa dan Pustaka, jld.4, hlm.83). Dari aspek undang-undang pula, kontrak didefinisikan sebagai semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak, untuk sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah (Akta Kontrak, seksyen 10 (1)). 


Bahagian Akad/Kontrak 

 Akad terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut perbezaan sudut pandangan. Antaranya ialah pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, dan dari aspek ada atau tidak ada kesannya kepada akad yang dimenterai. Pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, terbahagi kepada beberapa jenis iaitu sahih (صحيح), batil (باطل), nafiz (نافذ), mauquf (موقوف), lazim (لازم) dan ja’iz (جائز).

 • Akad sahih ialah kontrak yang sempurna semua rukun dan sy arat yang ditetapkan syarak dan tidak ada sebarang unsur dan sifat meragukan yang boleh mengeluarkannya dari dikira sah dari segi pensyariatannya. Hukum kontrak ini ialah sah dan sabit kesannya serta-merta sebaik sahaja selesai ijab dan qabul jika tidak ada khiyar dalam jual beli. 

 • Akad batil ialah kontrak yang tidak sempurna (cacat) syarat dan rukunnya. Hukum kontrak seperti ini ialah tidak sah dan tidak melahirkan sebarang kesan sedikit pun. 

 • Akad nafiz ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai kelayakan dan kuasa untuk melakukannya. Hukumnya ialah kontrak seperti ini menerbitkan kesan segera sebaik sahaja ia dibuat, tanpa tertakluk kepada kelulusan dan keizinan seseorang. 

 • Akad mauquf ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai kelayakan untuk berkontrak, tetapi dia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya seperti kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz bagi kontrak yang ada risiko untung dan rugi. Hukumnya ialah kontrak ini tidak boleh melahirkan sebarang kesan melainkan setelah mendapat kelulusan dan persetujuan oleh pemilik hak yang berkuasa melakukannya. Jika pemilik hak tidak mempersetujui atau meluluskannya maka kontrak itu menjadi batal. 

 • Akad lazim ialah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang memeterai kontrak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli. 

 • Akad jaiz ialah kontrak yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak membatalkannya tanpa sebarang persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak wakalah. 


Pembahagian akad dari aspek ada atau tidak ada kesannya terhadap akad yang dibuat pula terbahagi kepada munjiz (منجز), muallaq (معلق) dan mustaqbali (مستقبلى). 

• Akad munjiz ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz yang tidak digantungkan dengan sebatang syarat dan tidak disandarkan pelaksanaannya pada masa hadapan. Kontrak seumpama ini menerbitkan kesan segera ke atas kontrak sebaik sahaja ia dibentuk. 

 • Akad muallaq ialah kontrak yang dikaitkan kewujudannya dengan wujudnya sesuatu yang lain. Sekiranya wujud perkara tersebut maka wujudlah kontrak, jika sebaliknya maka tidak berlakulah kontrak. Sebagai contoh si polan A berkata kepada si polan B, “jika aku jadi keluar negara maka engkaulah menjadi wakil ku”. Kontrak seumpama ini tidak akan terbentuk melainkan adanya syarat yang dikaitkan itu. 

 • Akad mustaqbali ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz penerimaan disandarkan pada masa yang akan datang. Hukum kontrak ini ia akan berlaku atau terbentuk segera, tetapi kesannya tidak ada kecuali pada waktu yang ditetapkan itu, iaitu waktu yang disandarkan berlaku. Maksud kontrak atau akad dalam fiqh Islam ialah satu ikatan tawaran (Ijab) dari penawar dan penerimaan tawaran tersebut oleh pihak penerima dengan satu penerimaan (Qabul) yang akan mensabit satu kesan hukum pada suatu objek. Ulama’ Jumhur berpandangan bahawa akad merangkumi ijab dan qabul. Manakala ulama’ Hanafi pula berpandangan bahawa akad adalah mencukupi dengan adanya ijab tanpa memerlukan kepada qabul. 

Lafaz ijab dan qabul ini boleh dilafazkan menggunakan apa jua bahasa sekalipun selagi mana pihak-pihak yang hadir faham dan maklum mengenai lafaz yang disebut. Selain itu, lafaz akad tersebut juga boleh dilakukan secara bertulis atau melalui isyarat sekiranya psangan tersebut tidak boleh bertutur atau bisu. Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh di dalam kitab Syarah Qawaid Fiqhiyyah halaman 349 : الكتاب كالخطاب Maksudnya: Penulisan itu umpama percakapan. 

Dr. Wahbah telah menggariskan empat (4) syarat lafaz akad sebagaimana berikut : 

 (i) Ijab dan qabul hendaklah diucapkan dalam satu majlis yang sama kerana syarat lafaz itu mengikat waktu berlakunya lafaz. Sekiranya lafaz akad itu diucapkan dalam majlis yang berbeza seperti, seorang bapa menyatan: “aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku”, dan majlis telah selesai sebelum lafaz qabul diucapkan, maka dalam hal seperti ini tidak terjadi dan/atau tidak berlangsungnya akad tersebut (di sisi ulama’ Hanafi). Ulama’ jumhur pula berpandangan bahawa lafaz akad hendaklah disegerakan dan tidak terpisah dalam jangkamasa yang lama. 

 (ii) Lafaz qabul hendaklah menepati lafaz ijab. Kedua-dua lafaz ini hendaklah disepakati di tempat berlakunya akad dan pada kadar mahar. 

 (iii) Tawaran ijab hendaklah dikekalkan oleh pemberinya, dimana dalam keadaan ini pemberi atau orang yang melafazkan ijab tidak boleh menarik balik lafaznya sebelum ijabnya diterima oleh pihak yang satu lagi. 

 (iv) Akad yang dilakukan hendaklah terlaksana pada ketika lafaz dibuat (tanjiz). Jumhur berpandangan bahawa perkahwinan adalah sama seperti jual beli yang mensyaratkan tanjiz dan tidak bersandarkan kepada perkara akan datang, serta tidak disyaratkan dengan perkara-perkara yang tidak wujud. Hal ini kerana, akad perkahwinan adalah akad pemilikan atau pembalasan yang mana ia tidak menerima takliq atau penambahan. 

Secara ringkasnya untuk menjadikan sesuatu kontrak tersebut sah mestilah terdapat hubungan di antara penawar den penerima dan mestilah ada matlamat. Hubungan di antara penawar dan penerima adalah terkandung di dalam konsep kerelaan. Manakala matlamat sesuatu kontrak itu terkandung di dalam "objek" dan "sabab". Oleh yang demikian, pembentukan sesuatu kontrak yang sah di dalam undang-undang Islam mestilah mengandungi tiga unsur utama iaitu kerelaan, objek dan sabab. Dalam undang-undang kontrak moden, sama ada undang-undang kontrak Islam atau undang-undang kontrak sekular, istilah tawaran (offer), penerimaan (acceptance) dan balasan (consideration) digunakan dalam menghuraikan tiga unsur utama pembentukan kontrak. 

Meskipun begitu, konsepnya tidaklah jauh berbeza dengan konsep kerelaan, "objek" dan "sabab" yang dinyatakan di atas. Pada dasarnya, kedua-dua aliran undang-undang kontrak ini mengiktiraf ketiga-tiga elemen tersebut dalam pembentukan kontrak. Malah prinsip ini amat dipegang kuat oleh undang-undang kontrak sekular sehingga mana-mana komitmen atau perjanjian yang dibuat menepati elemen-elemen tersebut, ia adalah mengikat pihak-pihak berkenaan mengenai suatu tanggungan atau hak dan kemungkinan terhadap hak dan tanggungan berkenaan akan melibatkan natijah perundangan.

pre nuptial agreement sandaran perceraian? (1)

Perkahwinan: 

Definisi dan Pensyariatan 

Perkahwinan dari segi bahasa membawa erti sebagai percantuman dan pertembungan. Manakala dari segi istilah, ia bererti sebagai akad di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang menghalalkan hubungan di antara keduanya (hubungan kelamin) untuk membentuk sebuah keluarga. Prof Dr Wahbah az-Zuhaili pula mentafsirkan perkahwinan sebagai satu akad yang mengharuskan pergaulan di antara seorang lelaki dan perempuan, menghalalkan hubungan jenis di antara mereka dan melahirkan hak dan tanggungjawab. 

Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang nasnya bermaksud: Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan…” Di dalam surah az-Zhariat ayat 19, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: Maksudnya: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).” Seterusnya, Allah s.w.t berfirman dalam surah an-Nur ayat 32 yang bermaksud: Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” 

Perjanjian perkahwinan 

Perjanjian perkahwinan ini boleh dibahagikan kepada dua (2) bahagian, iaitu perjanjian sebelum perkahwinan (pre nuptial agreement) dan perjanjian selepas perkahwinan (post nuptial agreement). Perjanjian pra perkahwinan (Prenuptial agreement) Definisi Perjanjian pra perkahwinan (PPP) adalah perjanjian yang dibuat oleh pasangan bakal suami dan isteri mengenai perkara-perkara tertentu sebelum perkahwinan dilangsungkan. Berdasarkan konsep dari Barat, perjanjian pra perkahwinan ialah satu perjanjian yang ditandatangani oleh seorang lelaki dan seorang perempuan sebelum mereka berkahwin terutamanya mengenai cara membahagikan wang dan harta apabila mereka berhasrat untuk bercerai. Walaubagaimanapun, menurut konsep Islam, perjanjian pra perkahwinan ialah satu perjanjian kontrak yang dilaksanakan sebelum pasangan tersebut bernikah. Segala terma dan syarat yang dimasukkan dan/atau disertakan di dalam perjanjian harus dilaksanakan oleh pasangan tersebut semasa dalam tempoh perkahwinan dan sekiranya salah seorang daripada pasangan tersebut melanggar terma atau syarat tersebut di dalam perjanjian tersebut, maka penceraian boleh berlaku. 

Tujuan 
Perjanjian pra perkahwinan adalah untuk melindungi hak individu yang berhasrat untuk membina keluarga terutamanya hak kaum wanita atau isteri selepas berkahwin. Walaubagaimanpun, perjanjian pra perkahwinan ini tidak semestinya merangkumi isu berkenaan dengan harta dan kekayaan sahaja, namun ia juga boleh diguna pakai untuk mempertahankan hak-hak yang lain seperti yang digariskan di dalam ajaran agama Islam sebagai contoh dalam kes penceraian yang melibatkan tuntutan harta sepencarian dan tuntutan pasca perceraian yang lain. Imam Yusuf Ziya Kavakci, seorang Imam dari Dallas Central Mosque di Richardson, Texas yang mempunyai Ph.D dalam Undang-undang Islam dari Universiti Istanbul mengatakan bahawa beliau bersetuju dengan perjanjian pra perkahwinan ini, dimana pihak-pihak perlu menandatangani perjanjian pra perkahwinan terlebih dahulu sebelum berkahwin. 

Malah, beliau juga berkata bahawa di dalam konteks ini, pihak-pihak terutamanya umat Islam dapat memperolehi manfaat dari perjanjian pra perkahwinan ini dengan meletakkan beberapa syarat di dalam perkahwinan yang berlandaskan syariat Islam dan hukum syara’ dengan harapan setiap perselisihan faham dapat diselesaikan melalui medium mediasi. Berdasarkan tafsiran dan pandangan cendiakawan Islam, perjanjian pra pekahwinan tersebut merupakan satu perjanjian kontrak. Kontrak juga dikenali sebagai akad di dalam Islam.

KECELARUAN JANTINA BUKAN BAHAN GURAUAN

Masih segar dalam memori penulis ketika singgah di sebuah tandas perhentian lebuhraya apabila terserempak dengan sekumpulan lelaki berpakaian wanita yang berkongsi tandas perempuan, terkejut dan keliru kerana ingatkan tersalah masuk tandas lelaki apabila mendengar suara mereka yang betul-betul lelaki! Apakah sudah tiba masanya pihak berkenaan menyediakan tandas khusus untuk golongan ini bagi mengelakkan kekeliruan? Berkongsi tandas mungkin masalah remeh, tetapi bagaimana pula reaksi kita apabila kumpulan ini secara terang-terangan berani mencabar Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan berkaitan kesalahan berpakaian seperti wanita sebagai tidak berperlembagaan? Sekalipun keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2015 lalu tidak menyentuh berkenaan merit kes, namun setidak-tidaknya kita lega apabila usaha kumpulan ini telah ditolak secara total.
Kebesaran Allah sebagai pencipta yang Maha Agung diterjemahkan melalui penciptaan manusia sebagai makhluk di atas muka bumi ini. Di dalam membicarakan persoalan jantina, Islam secara khususnya membahagikan kepada lelaki, perempuan, khunsa (jelas dan musykil), serta mukhannas dan mukhannis. Sungguhpun begitu, khunsa tidak dinyatakan atau disebut di dalam Al-Quran dan hadith-hadith shahih, namun ia hanya dinyatakan di dalam sebahagian athar (peninggalan para sahabat) sahaja. 
 
KHUNSA 
Khunsa berasal daripada perkataan arab yang membawa erti sebagai lembut. Manakala Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat menafsirkannya sebagai orang yang mempunyai dua alat kelamin. Fiqh Islam pula membahagikan khunsa kepada dua keadaan, dimana keadaan pertama adalah khunsa wadih dan khunsa musykil.   
Khunsa wadih adalah seseorang yang mempunyai dua alat alat kelamin (zakar dan faraj) dan bagi sesetengah khunsa, salah satu alat kelamin yang ada memang benar-benar berfungsi. Sebaliknya, khunsa musykil pula adalah seseorang yang tidak dapat ditentukan jantinanya kerana kedua-dua alat kelamin yang ada tidak nampak jelas berfungsi. Keadaan kedua khunsa pula adalah apabila seseorang itu tidak langsung mempunyai alat kelamin, sebaliknya hanya mempunyai lubang sekadar untuk membuang air kencing. 

PENENTUAN JANTINA 
Dalam menentukan jantina khunsa sama ada lelaki ataupun perempuan, para cendikiawan membahagikannya kepada dua hal, iaitu sebelum dan selepas baligh. Prof Abdul Bin Mohamad Bin Ahmad al-Tayyar, seorang Profesor di Universiti al-Qassim, Arab Saudi telah menggariskan bagi golongan khunsa yang belum mencapai umur baligh, ia dapat dilihat daripada cara membuang air kencing. Jika khunsa itu membuang air kencing dan keluarnya air tersebut daripada farajnya (kemaluan) dan dia didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai seorang perempuan. Sekiranya dia memiliki kedua-dua alat kelamin tetapi keluarnya air kencing dari saluran zakar dan dia tidak didatangi haid, maka ditentukan jantinanya sebagai seorang lelaki. Pandangan ini juga telah disepakati oleh majoriti ulama.

Jantina khunsa dewasa pula dapat dikenalpasti melalui perubahan yang dialami oleh khunsa itu sendiri termasuklah seperti pertumbuhan janggut, halkum, misai dan lain-lain bagi jantina lelaki. Manakala dalam menentukan jantina wanita pula, antara tanda-tanda yang dapat dikenalpasti adalah seperti kedatangan haid, tumbuh buah dada, hamil dan seumpamanya. Namun begitu, jika tidak terdapat padanya sebarang tanda-tanda yang menunjukkan jantinya, maka dapat dilihat dari segi pergaulannya. Jika dia cenderung kepada wanita, maka dia adalah lelaki dan begitulah sebaliknya. 
Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Sunan Al-Baihaqi yang meriwayatkan: Hussin Bin Kathir telah mendengar daripada bapanya yang menyatakan bahawa: “Aku telah melihat Saidina Ali r.a di dalam menentukan jantina khunsa, dimana beliau berkata: “lihatlah kepada jalan keluarnya air kencing, maka ditentukan jantinanya daripada itu. Di dalam satu riwayat yang lain, Ali r.a berkata: “Sekiranya air kencing itu keluar melalui zakarnya, maka dia adalah seorang lelaki. Dan sekiranya ia keluar dari faraj (kemaluan), maka ia adalah seorang perempuan.” Selain itu, terdapat juga cara lain dalam menentukan jantina khunsa iaitu dengan mengira tulang rusuknya. Dalam satu riwayat yang menceritakan peristiwa khunsa ketika zaman pemerintahan Saidina Ali r.a apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita khunsa yang memiliki dua alat kelamin. 

Dalam tempoh perkahwinan, mereka telah dikurniakan cahayamata dan selepas daripada itu, suaminya telah menghadiahkan seorang pembantu (jariah) untuknya. Pada masa yang sama, isteri tersebut telah tertarik kepada pembantunya lalu menyetubuhinya sehingga pembantu tersebut melahirkan anak. Perkhabaran tersebut telah disampaikan kepada Saidina Ali r.a, lalu baginda telah menghantar pakar untuk menghitung tulang rusuk wanita itu bagi mengenal pasti jantinanya. Idea dan pandangan Saidina Ali r.a ini adalah bertepatan dengan ketentuan Allah s.w.t yang menjadikan Hawa dengan mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri nabi Adam a.s. Setelah daripada itu, Saidina Ali r.a telah memutuskan bahawa wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinan dengan suaminya kerana dianggap tidak sah. 
  
PEWARISAN DAN BAHAGIANNYA 

Sekalipun khunsa tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci di dalam kedua-dua sumber rujukan utama, namun Islam tidak pernah menyisihkan mereka. Hal ini jelas apabila Islam tetap memperuntukkan hak dan bahagian mereka dalam agihan harta pusaka. Namun begitu, setiap pewarisan yang diterima adalah berbeza berdasarkan jenis dan/atau keadaan khunsa itu sendiri. Imam Abu Hanafiah berpendapat bahawa khunsa wadih akan mendapat haknya sebagaimana perempuan ataupun lelaki. Pandangan ini tidak dipersetujui oleh Imam Malik, Abu Yusuf dan golongan syiah al-Imamiyyah, dimana mereka berpandangan bahawa golongan khunsa wadih ini berhak mendapat harta pusaka secara pertengahan di antara bahagian lelaki dan perempuan. Namun begitu, Imam Abu Hanafiah membezakan bahagian golongan khunsa musykil dalam penerimaan pewarisan harta pusaka, dimana dia hanya berhak menerima bahagian dengan kadar melebihi sedikit daripada apa yang diperolehi oleh perempuan ataupun lelaki. 
PERKAHWINAN 

 Walaupun golongan khunsa ini mempunyai dua alat kelamin, namun ia tidak menghalangnya dari membina sebuah keluarga. Perkahwinan adalah fitrah dan keinginan setiap manusia termasuklah golongan khunsa. Meskipun begitu, Islam membataskan had-had tertentu demi menjaga maqasid syariah. Oleh itu, Islam meletakkan bahawa harus bagi seorang khunsa wadih untuk berkahwin dengan pasangan yang berbeza jantina dengannya. Ibn Qudamah menyatakan jika tanda-tanda yang menunjukkan suatu jantina itu jelas, maka tidak menjadi masalah baginya untuk berkahwin. Namun begitu, tidak bagi khunsa musykil, dimana majoriti ulama menyatakan bahawa tidak sah perkahwinan golongan ini.
Hal ini kerana jantina khunsa itu sendiri tidak mampu dikenalpasti dan mempunyai pelbagai kemungkinan samaada dia seorang lelaki ataupun seorang perempuan. Namun begitu, jika golongan khunsa musykil ini didatangi nafsu syahwat, bagaimana cara untuk mengatasinya? Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam Hadithnya bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan, maka laksanakanlah perkahwinan kerana sesungguhnya ia mampu menjaga pandangan dan kemaluan kamu (daripada zina). Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah.” Sesungguhnya puasa itu mampu menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang terlarang. Walaubagaimanpun, sekiranya mereka tidak mampu untuk berpuasa dan dalam keadaan seperti ini, Sheikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin, seorang ulama era komtemporari dalam bidang sains fiqh menyatakan bahawa adalah perlu untuk mereka mendapatkan nasihat doktor serta mengambil ubat-ubatan yang disarankan. 
Sesungguhnya larangan Islam ini bukanlah semata-mata untuk menganiyai golongan khunsa musykil ini tetapi adalah untuk menjaga nilai dan matlamat suci sesebuah ikatan perkahwinan. Oleh demikian, berdasarkan fatwa yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Dec 1989 telah membincangkan Kedudukan Mak Nyah dalam Islam menyatakan bahawa seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai. 
Kecelaruan jantina bukanlah suatu yang perlu ditertawakan di dalam masyarakat kita. Sudah tiba masanya pihak yang berkenaan memainkan peranan aktif untuk mendekati golongan ini bagi maksud dakwah. Dakwah bukan hanya terhad kepada kuliah-kuliah di masjid, tetapi turun ke gelanggang bagi menghayati dan memahami serta merawati penyakit masyarakat juga adalah suatu jihad!

Perjanjian Pra Perkahwinan sebagai Ta’liq tambahan atau Tebus Talaq?

Perjanjian Pra Perkahwinan sebagai Ta’liq tambahan atau Tebus Talaq? 

Perjanjian pra perkahwinan adalah satu perjanjian yang dibuat oleh pasangan bakal suami dan bakal isteri mengenai perkara-perkara tertentu sebelum melangsungkan perkahwinan. Sebahagian ahli ilmuan mengatakan bahawa perjanjian pra perkahwinan ini boleh dikatakan sebagai pertambahan Ta’liq, iaitu satu kontrak yang dibacakan selepas akad nikah atau pertambahan kontrak. 


Ta’liq 

Ta’liq ialah talaq yang dijatuhkan atau disandarkan ke atas sesuatu perkara tertentu pada masa akan datang dengan menggunakan lafaz pensyaratan ta’liq. Manakala, seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [EUKI (NS 2003)] mendefinisikan ta’liq sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini. Berdasarkan lafaz ta’liq yang telah dikanunkan tersebut, terdapat tiga (3) unsur dan/ata elemen yang ditekankan termasuklah pemberian nafkah kepada isteri, meninggalkan isteri lebih daripada tempoh yang tertentu dan mencerakan atau menyakiti isteri. Selain daripada tiga (3) perkara itu, tiada penambahan boleh dilakukan dan undang-undang syariah tidak mengiktiraf perjanjian pra perkahwinan ini sebagaimana undang-undang sivil. 

Namun begitu, Dr. Mohd Naim Bin Mokhtar Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor berpandangan bahawa perkara-perkara tambahan yang tidak dikanunkan sebagai ta’liq yang hanya dinyatakan atau ditulis dan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dalam perjanjian pra perkahwinan itu tidak semestinya tidak sah. Walaupun ia tidak dikanunkan, namun jika berlaku perlanggaran sebagaimana yang sudah ditulis di dalam perjanjian itu perceraian tetap sah, tetapi tidak jatuh di bawah seksyen 50 EUKI (NS 2003) sebaliknya jatuh sebagai perceraian umum, di luar atau tanpa kebenaran mahkamah di bawah seksyen 55A EUKI (NS 2003). Amir Bahari, seorang peguam Syarie dan juga seorang peguam litigasi berpendapat bahawa perjajian pra perkahwinan tersebut amat penting terutamanya kepada golongan wanita. Hal ini kerana kuasa untuk menjatuhkan talaq adalah terletak pada kekuasaan suami. Selanjutnya, ta’liq tambahan pada dasarnya adalah perjanjian yang dilakukan sebelum perkahwinan sama seperti perjanjian pra perkahwinan tetapi perlu dipersetujui kedua belah pihak pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan itu. 

Dalam hubungan ini, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor menyatakan: Jika pasangan itu bersetuju dengan ta’liq tambahan itu, maka pengantin lelaki perlu melafazkan perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu sejurus akad nikah dilaksanakan. Berdasarkan ulasan dan pandangan beliau, jelas menunjukkan bahawa waktu kebsahan ta’liq adalah selepasnya berlaku akad nikah. Tiada ta’liq ke atas sesuatu yang belum menjadi milikan seseorang dan ini adalah selari dengan tafsiran akad itu sendiri. Ta’liq terbahagi kepada dua, iaitu secara lafaz dan secara makna. Ta’liq lafzi ialah lafaz yang mengandungi kata hubung dengan jelas seperti sekiranya, jika dan lain-lain. Manakala ta’liq maknawi pula adalah lafaz yang diucapkan dan tidak mengandungi kata hubung secara jelas, namun ia wujud dan hadir/datang secara literal (makna). 


Pensyariatan ta’liq 

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang berbunyi: الطَلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ Maksudnya: Talak itu ada dua (yang boleh diruju'), peganglah isteri kamu dengan cara yang baik atau lepaskan dengan ihsan (terhadap steri kamu)" Ayat ini juga disokong dengan hadith Nabi s.a.w yang berbunyi: المسلمون عند شروطهم Maksudnya: “Orang muslim adalah di sisi syarat-syarat mereka” 

 

Syarat ta’liq 

Terdapat dua (2) syarat ta’liq yang telah digariskan oleh Prof Dr Wahbah sebagaimana berikut: 

 (i) Hendaklah syarat yang digantungkan itu bebas daripada sebarang bahaya atau mudharat. Dalam konteks ini, sekiranya syarat yang digantungkan itu wujud, maka jatuhlah talaq pada masa itu (munjiz). Sekiranya ia digantungkan kepada sesuatu yang mustahil, maka tidak jatuh talaq tersebut. Hal ini kerana pada pandangan ulama’ Hanafi dan dipersetujui oleh yang lain bahawa lafaz ta’liq tersebut tidak sah. 

(ii) Hendaklah lafaz ta’liq tersebut dilafazkan kepada isteri yang sah atau dalam eddah talaq raji’e (dalam wilayahnya).

Friday, October 10, 2014

PERCERAIAN BERPUNCA DARIPADA KEWUJUDAN ORANG KETIGA

PENGENALAN 

Perkahwinan merupakan satu jalinan yang kukuh berpandukan aspek penyatuan terhadap beberapa elemen seperti perasaan, kasih sayang, kepercayaan, penghormatan, komitmen, peranan dan tanggungjawab dan seumpamanya. Perkahwinan bertujuan untuk memenuhi tuntutan naluri kemanusiaan, dari segiperhubungan jenis, pergaulan, berkasih sayang, bertimbang rasa dan cara yang halal untuk mendapatkan zuriat dan keturunan. Ini disebabkan ikatan perkahwinan itu menghalal dan membolehkan lelaki dan perempuan hidup bersama sebagai suami isteri melalui akad nikah dengan persetujuan dan kerelaan kedua-dua pihak. 

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah ar-Rum ayat 21: وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ Terjemahannya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” 


PERCERAIAN DI SISI UNDANG-UNDANG DAN HUKUM SYARAK 

 Islam sangat mengambil berat tentang kehidupan dalam rumah tangga dan keluarga. Al-Quran dan Sunnah telah meletakkan panduan dan garis panduan yang perlu diikuti. Undang-Undang Keluarga Islam memperincikan hukum-hukum kekeluargaan bermula dengan pertunangan, perkahwinan, wali, akad nikah, saksi, hak dan tanggungjawab dalam ikatan perkahwinan sehinggalah kepada pembubaran perkahwinan, nafkah, iddah dan hadanah. Perundangan sebegini begitu indah diatur oleh Allah SWT demi kemaslahatan manusia keseluruhannya. Pengabaian kepada peraturan yang ditetapkan boleh mendatangkan kepincangan dan sengketa dalam rumah tanggaAgama Islam merupakan agama yang menganjur dan sangat menitikberatkan kasih sayang, penyatuan dan pemuafakatan. Apabila perceraian berlaku maka nilai-nilai yang baik itu menjadi rosak dan pecah bertaburan sebagai kesan kepada persengketaan dan kemelut keluarga.

Pensyariatan perceraian membuktikan keterbukaan Islam dalam menyelesaikan konflik dan menyelamatkan sesebuah rumah tangga daripada terus dibelenggu masalah. Perceraian merupakan perkara halal yang paling dibenci Allah SWT sebagaimana di dalam Hadith Nabi Muhammad s.a.w : “ Semurka-muka Allah benda yang halal ialah talaq" Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim Di Malaysia, perceraian merupakan satu perkara yang paling ditakuti oleh setiap orang yang melangsungkan perkahwinan. Kadar perceraian yang berlaku semakin meningkat dari hari ke hari. Perceraian boleh berlaku dalam beberapa bentuk dan tidak hanya tertakluk pada lafaz talak. Sesuatu perceraian boleh terlaksana berdasarkan peruntukan di dalam bahagian V- Pembubaran Perkawinan di dalam Akta Undang- undang Keluarga Islam ( Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan dengan perceraian ini, antaranya adalah kewujudan pihak ketiga yang mempengaruhi pihak-pihak supaya bercerai. 


PERCERAIAN KERANA PIHAK KETIGA 

Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) , Musa Awang, mereka yang dikategorikan sebagai orang ketiga boleh merujuk kepada pasangan kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita (lesbian), llelaki dengan lelaki ( gay) , kalangan keluarga, saudara mara, adik- beradik, ibu bapa atau datuk dan nenek. Katanya lagi, sebanyak 12 peratus punca perceraian di Negara ini disebabkan faktor orang ketiga. Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan perbuatan dalam bentuk fizikal atau pun spiritual (sihir). Gangguan dalam bentuk fizikal biasanya membabitkan permainan cinta tiga segi atau pasangan itu bermain kayu tiga. Pihak ketiga ini biasanya dikaitkan dengan suami atau isteri yang mempunyai kekasih hati sehingga menyebabkan salah satu ‘beralih arah’. 

Selain itu juga, dikalangan mertua ataupun sahabat handai yang juga kadangkala menghasut, membanding-bandingkan dengan pasangan yang lain juga boleh menjurus kepada perceraian. Melihat kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri hanya berbidang kuasa di dalam hal-hal berkaitan dengan Agama Islam sebagaiman yang diperuntukkan di bawah jadual 9., senarai 2, senarai negeri, Perlembagaan Persekutuan. Manakala di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam pula tidak terdapat sebarang peruntukan khusus yang membolehkan seorang isteri yang diceraikan disebabkan pihak ketiga menyaman pihak ketiga tersebut . 

Namun begitu, di dalam Akta Jenayah Syariah terdapat peruntukan yang mengaitkan pihak ketiga ini. Kesalahan ini terdapat dibawah Kesalahan Pelbagai di dalam Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 bahagian V –Kesalahan Pelbagai. Seksyen 37 enakmen tersebut memperuntukkan :- “Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidupsebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahandan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudahbernikah dengan sah.” 

Seksyen 38 Enakmen tersebut pula memperuntukkan :- Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tigatahun atau kedua-duanya. Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, jelas menunjukkan bahawa mana-mana orang itu termasuklah pihak ketiga yang cuba atau mempengaruhi suami atau isteri sehingga membawa kepada perceraian. 

Menurut Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut menyatakan bahawa akta berkenaan memberikan pendefinisian orang ketiga sebagai penceroboh institusi kekeluargaan serta individu terbabit juga boleh dikenakan tindakan sewajarnya. Pihak ketiga atau orang yang mencampuri hal-hal rumah tangga dengan menghasut, memujuk dan juga menghalang perhubungan mereka sebagai suami isteri yang sah sehingga membawa kepada perceraian boleh dikenakan tindakan. Mereka boleh diambil tindakan berdasarkan kesalahan yang di lakukan sepertimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 37 dan 38 enakmen tersebut. 

Melihat kepada peruntukan –peruntukan di atas, adalah jelas menunjukkan bahawa, mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa yang khusus berkaitan apa-pa saman terhadap pihak ketiga yang dipercayai mengakibatkan perceraian. Walaubagaimanapun, pihak yang merasakan bahawa mereka teraniyai disebabkan oleh pihak ketiga ini boleh mengambil tindakan terhadap pihak ketiga ini dengan melaporkan ke bahagian Penguatkuasaaan Agama Jabatan Agama Islam untuk disiasat dan sekiranya di dapati bersalah dan seterusnya boleh di dakwa oleh Bahagian Pendakwa Syarie. Tan Sri Ibrahim Lembut juga menyatakan bahawa Akta tersebut sudah lama digubal, tetapi tidak dikuatkuasakan mungkin kerana ramai yang tidak tahu mengenainya, dan penguatkuasaannya diharap dapat dijadikan pengajaran atau penghalang kepada keruntuhan rumah tangga. 

Tuan Musa Awang juga berkata bahawa setiap perkahwinan yang mengalami permasalahan terhadap pihak ketiga dan apa yang boleh dilakukan bagi mengelakkan perceraian akibat orang ketigaini adalah dengan munasabah diri sendiri, berbaik antara pasangan, memohon kepada Allah dan juga sering membaca Al—Quran. Di samping itu, kepercayaan perlu diberikan di antara suami isteri dan cuba menyelesaikan permasalahan yang terjadi di dalam rumah tangga mereka serta mengelakkan daripada bercerita dan berkongsi masalah terhadap orang luar. Pasangan suami isteri juga seharusnya berusaha untuk mengelakkan daripada timbul sebarang konflik di dalam rumah tangga serta menghargai pasangan masing-masing, dimana sikap bertolak ansur itu sangat penting dan sering mengambil tahu keadaan pasangan. 


KESIMPULAN 

 Perceraian bukanlah jalan singkat yang perlu diambil bagi menamatkan sebuah jalinan ikatan yang suci lagi murni iaitu perkahwinan. Penglibatan pihak ketiga ini perlu diambil berat dan dicegah daripada terus dan membawa perkahwinan kepada perceraian.Secara undang-undangnya, mereka perlu dikenakan hukuman dan tindakan yang dapat memberikan kesedaran daripada terus menjadi pengongcang kebahagiaan rumah tangga.