Pengesahan pernikahan lazimnya terjadi apabila suatu perkahwinan atau pernikahan itu dijalankan diluar negara ataupun perkahwinan yang tidak didaftarkan. Menurut peruntukan undang-undang di Malaysia, suatu pernikahan yang dijalankan hendaklah didaftarkan bagi memperoleh pengiktirafan. Hal ini bagi menjamin pelbagai kemaslahatan yang mungkin akan berbangkit selepas pernikahan tersebut, sebagai contoh, pendaftaran kelahiran anak, perceraian dan lain-lain perkara.
Peruntukan undang-undang telah menggariskan beberapa panduan sebelum pendaftaran pernikahan ini dapat dilakukan. Pada masa kini, satu laporan dan/atau makluman perlu dilakukan di Pejabat Agama Islam (mengikut lokasi tempat tinggal Pemohon) dan satu tkebenaran akan diberikan kepada Pemohon tersebut sebelum suatu permohonan Pendaftaran Pernikahan boleh dibuat di Mahkamah Syariah.
Seksyen 12 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) AKTA 303 memperuntukkan bahawa mana-mana perkahwinan yang bersalahan, yakni tidak mengikut prosedur undang-undang di Malaysia adalah tidak boleh didaftarkan. namun begitu, di dalam subseksyen (12(2)) pula memperuntukkan sekiranya perkahwinan itu menepati dan sah mengikut garis panduan Hukum Syarak, maka perkahwinan itu boleh didaftarkan.
Oleh itu, dalam memastikan pernikahan itu dapat didaftarkan, kesemua rukun yang telah digariskan di dalam Hukum Syarak hendaklah dipatuhi. Haji Said Haji Ibrahim menyatakan di dalam Buku 400 Soal Jawab Nikah Kahwin mengenai rukun nikah ini mempunyai lima (5) sebagaimana berikut:
(i) Pengantin lelaki (Bakal Suami);
(ii) Pengantin perempuan (Bakal Isteri);
(iii) Wali;
(iv) Dua (2) orang saksi; dan
(v) Sighah (ijab dab qabul)
Setiap rukun tersebut, masing-masing mempunyai syarat yang tersendiri bagi memastikan rukun itu lengkap dan sempurna.
PENGANTIN LELAKI
Dalam rukun pertama ini, seorang pengantin lelaki itu hendaklah beragama Islam, tidak berada di dalam ihram samaada haji mahupun umrah serta hendaklah ditentutkan orangnya. Selain itu, lelaki tersebut hendaklah tidak mempunyai empat (4) orang isteri termasuklah isteri yang di dalam eddah dan perkawhinan itu merupakan kerelaan dan pilihannya sendiri turut menjadi intipati kepada syarat dalam rukun pertama ini.
PENGANTIN PEREMPUAN
Syarat kepada rukun kedua ini tidakjauh bezanya dengan syarat yang terkandung di dalam rukun pertama. Namun, kerelaan dan pilihan sendiri tidak menjadi syarat kepada rukun kedua ini. Dalam konteks ini, seorang anak dara boleh dinikahkan oleh walinya tanpa menjadi kerelaan dirinya, manakala mereka yang pernah berkahwin (janda) pula boleh memilih dan menolak pilihan walinya. Isu ini akan saya perjelaskan di dalam post yang akan datang. Selain dari itu, pastikan juga pengantin perempuan itu bukanlah isteri orang termasuklah yang masih di dalam eddah dan sudah pastinya bukan mahram kepada pengantin lelaki itu.
Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah an-Nisa ayat 24 yang berbunyi: وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki…”
WALI
Wali adalah seseorang yang bertanggungan ke atasnya suatu keesahan akad nikah. Perwalian ini menjadi rukun menurut fuqaha' Syafie, namun ia hanya sunat di sisi fuqaha' Hanafi. Di dalam suatu pernikahan, turutan wali perlu diambil berat dalam memastikan keesahan akad nikah yang dijalankan. Siapakah yang layak menjadi wali?
Para ulama’ telah membahagikan wali kepada dua (2) bahagian, iaitu wali khas (nasab/keturunan) dan wali am (ghair nasab /selain keturunan). Wali khas atau wali nasab ini terdiri daripada empat (4) golongan, iaitu: wali mujbir, wali ghair mujbir, wali aqrab dan wali ab’ad. Manakala, wali hakim ialah Ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kadi Besar, Kadi-kadi Daerah atau mereka yang mendapat tauliah daripada Pejabat-pejabat Kadi Daerah, biasanya mereka ini terdiri daripada imam masjid, bilalnya atau seorang alim kampung.
Seksyen 2 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan ) 1984 AKTA 303 mendifinisikan Wali mujbir sebagai; “Bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas.” Manakala Kitab Empat Mazhab menyatakan bahawa wali mujbir adalah seorang yang mempunyai hak untuk mengahwinkan sesiapa (anak perempuan) yang berada di bawah kekuasaannya (wilayah) tanpa memerlukan izin dan redhanya (anak perempuan itu).
Adakah semua wali itu layak mengakadnikahkan sesebuah pasangan? Seorang wali hendaklah menepati kesemua syarat yang digariskan sebagaimana berikut: (i) Beragama Islam; (ii) Seorang lelaki; (iii) Baligh; (iv) Dengan kerelaan bukan paksaan; (v) Tidak berihram haji atau umrah; (vi) Tidak fasiq: tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak meneruskan dosa-dosa kecil; (vii) Tidak cacat akal fikiran.
SAKSI
Kesaksian perkahwinan hendaklah dihadiri oleh dua (2) orang saksi, dimana mazhab Syafie mensyaratkan kedua-dua orang tersebut hendaklah lelaki. Manakala, mazhab Hanafi pula membenarkan seorang lelaki dan dua (2) orang perempuan sebagai saksi.
Untuk menjadi saksi perkahwinan, mereka perlu memenuhi syarat-syarat saksi yang digariskan seperti berikut: (i) Berakal; (ii) Baligh; (iii) Merdeka; (iv) Adil; (v) Islam; (vi) Dua orang; (vii) Lelaki (pandangan Jumhur/ majoriti); (viii) Mendengar dan memahami apa yang diucapkan.
Keperluan dua (2) orang saksi ini juga diakui oleh undang-undang bertulis sebagaimana yang diperuntukan di bawah seksyen 22 (2) AKTA 303: Catatan itu hendaklah diaku saksi oleh pihak-pihak kepada perkahwinan itu, oleh wali, dan oleh dua orang saksi, selain Pendaftar, yang hadir semasa perkahwinan itu diakadnikahkan.
LAFAZ SIGHAH
Apa yang dimaksudkan dengan lafaz sighah? Lafaz sighah merangkumi dua, yakni ijab dan qabul. Ijab adalah lafaz akad dari wali atau wakilnya. Qabul pula adalah lafaz yang disambut yang merupakan kesediaan dan keredhaan daripada suami.
Ulama fiqh, Sayyid Sabiq menegaskan bagi melaksanakan perkahwinan yang akan memberikan kesan dan hukum kepada perkahwinan pasangan suami isteri, lafaz ini haruslah memenuhi syarat-syarat sebagai berikut: (i) Kedua belah pihak sudah mencapai tahap tamyiz; (ii) Lafaz ijab dan qabul dilakukan dalam satu majlis; (iii) Lafaz qabul hendaklah tidak menyalahi lafaz ijab; (iv) Pihak-pihak yang melakukan akad saling mendengar pernyataan masing-masing yang bermaksud melaksanakan akad nikah.
Para ulama’ fiqh turut mensyaratkanbahawa suatu lafaz ijab dan qabul hendaklah dibuat dengan lafaz fi’il madhi (kata kerja yang lalu) atau salah satunya dengan fi’il madhi dan yang lain fi’il mustaqbal (kata kerja sedang) sebagaimana " Aku kahwinkan dikau dengan anak permpuanku ........." dan diterima dengan lafaz "Saya terima nikah ....."Lafaz ini tidak boleh mengandungi kata-kata yang bersyarat atau menyandarkan kepada suatu perkara yang tidak pasti atau akan datang seperti "Aku kahwinkan dikau dengan anak perempuanku pada bulan Ogos 2023 ..."
Perlaksanaan lafaz juga perlu dilakukan dalam satu majlis. Hal ini bererti bahawa antara lafaz ijab dan qabul itu tidak boleh diselangi dengan suatu masa yang terlalu lama. Para ulama' membahaskan dan menerangkan bahawa tempoh masa yang lama itu boleh diqiyaskan (diumpamakan) dengan solat dua rakaat. Apakah maksud ini? Sekiranya di antara ijab dan qabul itu boleh dilakukan dan/atau didirikan solat dua rakaat, ini bermakna tempoh selang itu adalah lama dan boleh membatalkan syarat di dalam rukun kelima ini.
Setelah kesemua syarat dipenuhi barulah rukun-rukun suatu pernikahan itu dikira lengkap bagi membolehkan perkahwinan atau pernikahan itu dianggap sah disisi Hukum Syarak. Apabila telah lengkap kesemuanya, barulah pernikahan anda boleh disahkan oleh Mahkamah Syariah sekaligus dapat didaftarkan di Jabatan Agama Islam Negeri.
